KUALA LUMPUR: Institusi perbankan perlu mengemukakan laporan kewangan setiap bulan kepada Bank Negara Malaysia bagi menentukan status sama ada sesuatu bank untung atau rugi termasuklah dengan pelaksanaan pinjaman moratorium.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Abdul Manap Abd. Wahab berkata, laporan kewangan dari setiap bank perlu dihantar pada setiap 31 Mac, 30 Jun, 30 September dan 31 Disember setiap tahun sebelum akaun ditutup bagi mengenal pasti berapa hasil yang diperoleh.
“Pada masa ini, kita hanya boleh menjangkakan sama ada bank rugi atau tidak. Kalau mengikut polisi sedia ada, kemungkinan ada bank yang rugi disebabkan pelanggan tidak membayar pinjaman.
“Namun, bukan semua pelanggan tidak membayar komitmen kepada pihak bank kerana masih ada lagi dalam kalangan mereka yang tidak terjejas sumber pendapatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menerusi pengubahsuaian hari pertama laporan perakaunan Malaysia (IFRS 9) pada Julai lalu – bahawa sektor perbankan mengalami kerugian sebanyak RM6.4 bilion atau RM1.06 bilion setiap bulan – sepanjang enam bulan moratorium dilaksanakan.
Ini bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion. Kenyataan itu mendapat reaksi berbeza daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak yang mengatakan bank tidak kerugian malah menjana keuntungan lebih tinggi berbanding tahun lepas.
Mengulas lanjut, Abdul Manap berkata, keuntungan dan kerugian sesuatu bank hanya boleh diketahui pada bulan Februari atau Mac 2021 setelah semua bank menutup akaun berakhir Disember ini dan menyerahkan salinan kepada Bank Negara dan Bursa Malaysia.
Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, ‘kerugian’ yang disebut oleh Menteri Kewangan bukanlah kerugian keseluruhan dihadapi institusi perbankan namun sebaliknya hanya kerugian pengubahsuaian (modification loss) iaitu satu bentuk perbelanjaan atas kertas (paper loss) yang bukan bersifat tunai dan tidak memberi impak besar dalam jangka masa panjang.
“Bank akan sentiasa membuat keuntungan. Pinjaman moratorium ini tidak akan menjejaskan sektor perbankan melainkan pinjaman ini dilanjutkan dalam tempoh lebih lama.
“Kesannya, bank tidak berkeupayaan untuk memberikan pinjaman tambahan sebab orang tidak membayar pinjaman maka bank tidak mendapat pusingan tunai. Tetapi jika tak ramai yang memohon moratorium ia tiada masalah untuk bank untuk memberi pinjaman,” katanya. – UTUSAN










