fbpx

Gelang tangan kedai haiwan peliharaan rupanya

GAMBAR tular pasangan memakai gelang merah jambu di sebuah kawasan tempat meletak kereta berhampiran rumah ibadat di Bukit Bendera, Pulau Pinang kelmarin rupa-rupanya memakai gelang dari sebuah kedai haiwan peliharaan.
  • Oleh Mohd Khuzairi Bin Ismail @ Mat Jusoh
  • 4 Ogos 2020, 2:11 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pasangan kekasih yang gambar mereka tular kerana didakwa memakai gelang pengesanan Covid-19 rupa-rupanya memakai gelang dari sebuah kedai haiwan peliharaan yang dikunjungi mereka di sini.

Malah, kedua-dua individu itu yang berjaya dikenal pasti dan dipanggil polis semalam juga disahkan negatif wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan mendapati, pasangan itu memakai gelang tangan berwarna merah jambu selepas mengunjungi sebuah kedai haiwan peliharaan di New World Park di sini.

“Hasil keterangan pasangan itu, mereka memaklumkan ke sebuah kedai haiwan peliharaan, Corgi & The Gang Pet Cafe pada pukul 12.30 tengah hari kelmarin, sebelum ke Bukit Bendera.

“Mereka dipakaikan gelang berwarna merah jambu yang bertulis ‘Husky And The Gang’ untuk memasuki premis tersebut.

“Oleh kerana mereka ingin kembali ke kedai tersebut pada sebelah malam, mereka tidak menanggalkan gelang itu kerana premis tersebut membenarkan pengunjung yang telah datang ke premis untuk masuk semula dengan syarat memakai gelang berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kelmarin, pengguna sosial media di negeri ini dikejutkan dengan penularan gambar dua individu yang didakwa pasangan kekasih yang didapati memakai gelang tangan berwarna merah jambu berada di kawasan parkir kenderaan di Bukit Bendera, Air Itam di sini.

Malah, polis turut menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa ternampak pasangan itu berjalan di parkir kenderaan pusat peranginan tersebut pada pukul 3.25 petang, kelmarin.

Dalam pada itu, Soffian berkata, pasangan kekasih yang tinggal di Butterworth itu turut mengaku merupakan individu yang tular di media sosial.

“Mereka yang berusia 21 dan 22 tahun mengaku tidak pernah ke luar negara. Kedua-duanya berada di kaunter tiket furnikular Bukit Bendera pada pukul 3 petang hari sama, selama sejam untuk menunggu giliran membeli tiket.

“Oleh kerana menunggu terlalu lama, mereka membatalkan hasrat naik ke Bukit Bendera lalu ke pasar raya Queensbay di Bayan Baru,” katanya.

Soffian berkata, semakan dengan Kementerian Kesihatan melalui senarai individu (People Under Surveillance – PUS) yang diarahkan kekal di rumah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) juga mendapati nama pasangan berkenaan tiada dalam senarai. – UTUSAN ONLINE

 

POPULAR