KUALA LUMPUR: Sokongan pakej kewangan seperti pinjaman dengan terma lebih mudah kepada AirAsia Group bukan sahaja akan memperuntukkan dana operasinya malah mewujudkan kesan pengganda tinggi dalam merancakkan serta memulihkan ekonomi negara.
Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, menerusi pembiayaan itu, ia memberi kesan pengganda bagi setiap penerbangan masuk ke dalam negara.
“Kita punya multiplier effect atau kesan pengganda daripada penerbangan iaitu 12 kali dengan RM1 kita bawa masuk RM12 lagi diberikan kepada (sektor) ekonomi seperti hotel, resort dan restoran.
“Semua negara faham, apabila buka sahaja industri penerbangan, maka akan datanglah business people (golongan perniagaan) dan pelancong justeru hotel dan restoran kembali beroperasi dan menerima pengunjung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menerusi laporan media, AirAsia Group mendakwa menerima sokongan daripada institusi kewangan tertentu berhubung permohonannya untuk mendapatkan pembiayaan bernilai lebih RM1 bilion.
Permohonan pembiayaan itu bagi membantu mengekalkan mudah tunai syarikat dan memastikan aliran tunai mencukupi.
Setakat ini, perbincangan bersama beberapa pihak termasuk bank pelaburan, pemberi pinjaman dan pelaburan sedang dijalankan.
Menurut Rafidah, bagi merancakkan industri penerbangan negara, sokongan dan bantuan kewangan diperlukan oleh syarikat penerbangan yang terjejas susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jika mahu kita buka (operasi), kena bantu kerana semasa PKP, tiada pendapatan yang diperoleh kerana penerbangan masuk dan keluar negara terhenti sedangkan perbelanjaan terus berjalan.
“Jadi, kita mahu pinjaman mudah di mana kadar faedah rendah dengan syarat bayaran dipanjangkan supaya pemulihan yang dilakukan setimpal dengan pendapatan. Ini yang kita sedang rundingkan,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Rafidah berkata, keadaan pandemik Covid-19 yang belum berakhir tidak menghalang AirAsia untuk terus mencari destinasi penerbangan baharu.
Bagaimanapun katanya, pelbagai aspek perlu dilihat terlebih dahulu termasuk jumlah kehadiran pengunjung dan harga bahan api.
“Kita sentiasa mencari destinasi penerbangan baharu namun perkara penting yang perlu difikirkan adalah ia perlu menguntungkan.
“Jika harga minyak naik, berbaloi atau tidak penerbangan tersebut? Berapa ramai yang menaiki penerbangan dan berapa ramai pula yang menggunakan penerbangan itu untuk datang ke dalam negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE










