Terpedaya dengan African Scam, pesara polis rugi RM45,400 - Utusan Malaysia

Terpedaya dengan African Scam, pesara polis rugi RM45,400

AIBEE ABD. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Gara-gara terpedaya dengan kenalan di laman sosial Facebook, seorang wanita yang juga pesara polis berusia 60 tahun mengalami kerugian sebanyak RM45,400 selepas menjadi mangsa African Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, pada 15 April lalu, mangsa telah dihubungi oleh kenalan Facebook bernama Ummi Nabila yang menyatakan ada mengirim bungkusan mengandungi wang tunai matawang asing kepada mangsa.

Menurutnya, kenalan Facebook berkenaan meminta mangsa menggunakan wang tunai berkenaan bagi kerja-kerja amal.

“Pada 29 April, mangsa dihubungi pihak kurier untuk membayar sebanyak RM3,200 untuk bungkusan berkenaan di hantar kepadanya.

“Mangsa bertindak memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun yang diberikan pihak kurier pada hari yang sama.

“Keesokkan harinya, mangsa diminta untuk membayar sebanyak RM8,700 lagi untuk bayaran duti kastam,” katanya di sini semalam.

Aibee berkata, mangsa telah memasukkan duit yang diminta ke dalam akaun yang sama secara berperingkat-peringkat di mana pada tarikh yang sama diminta berbuat demikian, sebanyak RM5,000 dimasukkan, diikuti RM1,000 pada 1 Mei dan RM2,700 pada 4 Mei lalu.

Menurutnya, pada bulan Mei, mangsa telah sekali lagi dihubungi pihak kurier untuk meminta memasukkan bayaran bagi tujuan ‘foreigner ministry’.

“Mangsa sekali lagi telah memasukkan wang ke dalam akaun yang sama pada 6 Mei sebanyak RM7,000 diikuti beberapa transaksi lagi di bulan Jun iaitu sebanyak RM1,500 dan sebanyak RM500 pada 25 Jun serta RM700 bagi pada 26 Jun.

“Pada bulan Jun juga, mangsa dihubungi oleh pihak kurier untuk membayar sebanyak RM10,700 bagi tujuan bayaran peguam dan mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat-peringkat ke akaun yang sama.

Menurutnya, pada bulan ini, mangsa dihubungi pihak syarikat kewangan yang menyatakan bungkusan berkenaan telah disimpan begitu lama dan satu siasatan serta penyediaan dokumen untuk perlepasan parsel perlu dilakukan.

“Bagi tujuan tersebut, mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM13,000. Pengadu telah memasukan wang ke atas akaun seorang wanita pada 13 Julai sebanyak RM8,000, diikuti pada 16 Julai lalu sebanyak RM5,000.

“Pada 16 Julai lalu, mangsa sekali lagi dihubungi pihak kurier yang meminta bayaran sebanyak RM7,800 untuk penghantaran bungkusan ke rumah mangsa. Mangsa yang sudah tidak mempunyai wang lagi telah menceritakan kepada sepupunya,” katanya.

Aibee berkata, susulan bimbang dan sedar telah menjadi mangsa penipuan, mangsa tampil membuat laporan polis semalam.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Bagaimanapun, kita harap agar orang ramai akan lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sebarang taktik penipuan membabitkan jenayah komersil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya