MBI tarik taraf Segitiga Pelancongan Ipoh - Utusan Malaysia

MBI tarik taraf Segitiga Pelancongan Ipoh

RUMAIZI BAHARIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menaik taraf kawasan Segitiga Pelancongan Ipoh dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan tempatan.

Kawasan terlibat sekitar Gunung Lang, Taman D.R Seenivasagam dan Ipoh Padang termasuk pekan Ipoh Lama hingga ke Masjid Paloh dan Kampung Kuchai.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya akan mengambil contoh ikon pelancongan lain di negeri ini seperti Hulu Perak dengan Hutan Belum berusia 130 juta tahun, Taiping (bangunan lama) dan Manjung (aktiviti pertanian).

“Lembah Kinta terkenal dengan Geopark meliputi kawasan 1,900 kilometer persegi di mana Ipoh terletak di tengah-tengah Geopark itu dan berpotensi dimajukan sebagai tapak pelancongan.

“Ini termasuk membangunkan Kampung Kuchai seperti Kampung Gelam di Singapura,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Rumaizi, bagi pembangunan Gunung Lang, beberapa aktiviti dirancang antaranya Taman Buluh, pusat sukan ekstrem, `petting’ zoo dan penerokaan gua.

Bagi Taman D.R Seenivasagam pula, pihaknya merancang membangunkan amphitheatre atas air, replika serangga berwarna warni pada waktu malam serta Kinta River Walk sebagai lokasi keluarga bersantai.

“Di Ipoh Padang pula, projek cahaya dan bunyi akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Utara (NCIA) dengan kos RM3 juta. Ia membabitkan pencahayaan menarik di kawasan Ipoh Padang yang akan menjadi tarikan pengunjung,” katanya.

Rumaizi berkata, pekan Ipoh Lama yang sudah mempunyai tarikan tersendiri seperti lukisan mural dan kafe hipster,  akan ditambah baik dengan program Jejak Warisan sekitar bandar raya mengambil masa kira-kira dua jam.

“Diharapkan semua program yang dirancang dapat memeriahkan suasana bandar raya Ipoh dan menarik lebih ramai pelancong,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya