Buktikan dakwaan lidah jin beracun - Utusan Malaysia

Buktikan dakwaan lidah jin beracun

LIDAH JIN
Pokok lidah jin kini mendapat permintaan ramai kerana dipercayai baik untuk kesihatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Racun Negara dicabar membuktikan dakwaan kononnya pokok lidah jin mempunyai bahan aktif saponin yang berbahaya kepada manusia.

Pakar botani tanaman, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Firdaus Ismail berkata, setakat ini belum ada kajian tentang jumlah kandungan saponin dalam tumbuhan tersebut dan tahap minimum yang boleh mendatangkan masalah kesihatan.

“Sekiranya mengandungi racun sekalipun, ada beberapa persoalan. Jika bahaya kerana termakan, banyak mana kuantiti yang bahaya atau adakah ia berbahaya sekadar kita menghidunya.

“Hal ini sama seperti pisau atau racun serangga di dalam rumah. Adakah ia dianggap berbahaya sekiranya tidak berlaku kemalangan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai tidak berkongsi maklumat kononnya pokok lidah jin mengandungi saponin beracun sebelum kajian mengenainya disahkan.

Beliau yang juga pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian UPM mengulas isu yang tular mengenai pokok Sansevieria atau lidah jin yang dikatakan mengandungi saponin. Saponin adalah bahan fitokimia dalam tumbuhan yang mungkin berguna atau berbahaya kepada manusia dan haiwan.

Pada 7 Jun lalu, tular kenyataan Pusat Racun Negara bahawa tumbuhan ini mempunyai bahan aktif saponin. Jika termakan dalam kuantiti yang banyak mungkin boleh menyebabkan gejala-gejala ringan kepada manusia seperti muntah, cirit-birit dan ruam.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran timbul minat dalam kalangan orang ramai terhadap pokok hiasan itu yang dikatakan baik untuk kesihatan terutama sebagai penapis udara.

Sementara itu, menurut Pusat Racun Negara, sesuatu bahan itu boleh menyebabkan keracunan bergantung kepada kuantiti yang diambil atau terambil.

Pokok lidah jin atau nama saintifiknya diketahui mempunyai bahan aktif yang dinamakan saponin.

Saponin merupakan bahan aktif yang dihasilkan oleh tumbuhan tertentu sebagai cara pertahanan daripada ancaman luaran, yang menyebabkan rasa pahit jika termakan.

Menurut kenyataan itu lagi, jika termakan dalam kuantiti yang banyak, berkemungkinan boleh menyebabkan gejala-gejala ringan kepada manusia seperti muntah, cirit-birit dan ruam.

“Namun, ia mungkin menyebabkan gejala yang lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

“Antaranya pengeluaran air liur yang berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah, ” kata kenyataan tersebut kepada Utusan Malaysia.

Setakat ini, pusat tersebut belum pernah menerima laporan kes-kes keracunan disebabkan oleh pokok tersebut.

Namun, Pusat Kawalan Racun California dan Pusat Kawalan Racun di Universiti Kansas, Amerika Syarikat mengkelaskan tumbuhan tersebut kepada toksisiti tahap 2 dan 4 iaitu berupaya menyebabkan keracunan ringan dengan gejala seperti muntah-muntah dan cirit-birit serta mungkin menyebabkan iritasi kulit kepada mereka yang mungkin sensitif terhadap tumbuhan ini.

Kenyataan itu menambah, menanamnya tidak salah cuma perlu berwaspada sahaja kerana kewujudan gejala bergantung kepada kuantiti yang diambil

“Letak di tempat-tempat yang sukar dicapai oleh kanak-kanak dan haiwan peliharaan. Lebih bagus jika diletakkan di luar rumah sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN