Aus et al: Menganalisa burai cantum perasaan - Utusan Malaysia

Aus et al: Menganalisa burai cantum perasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK menyangka, sebuah e-mel yang tiba secara rawak ke meja wartawan Mingguan Malaysia beberapa minggu lalu menemukan kami dengan sebuah album menggugah perasaan, mencarik halus, membenam dan membangunkan jiwa menerusi Analisa.

Sampul album kuning merah yang memuatkan tujuh lagu itu dihasilkan oleh Aus et al, kumpulan independen lima sekawan dianggotai Aus (vokal, gitar), Azeem (gitar utama), Hisyam Weng (keyboard), Jin (bass), dan Ali Maswari (drum).

Nama Aus et al mungkin belum semegah Empty Page, FUGŌ, Amir Jahari atau Mafidz. Tapi dengan penghasilan Analisa yang ranum, kumpulan ini memiliki pesona dan potensi yang perlu diberi perhatian.

Kesemua lagu ditulis oleh vokalis kumpulan ini, Aus kira-kira lima tahun lalu. Bermula sebagai penyanyi di bilik kecil dan pemuzik latar, Aus et al dibentuk dan mula hadir di pentas-pentas acara dan gig kecil.

“Awal-awal dulu, kami banyak main secara akustik. Hanya fikir mahu buat persembahan sahaja, tidak mengapa jika tidak ambil bayaran. Kata orang, buat kerja amal,” kata Jin ketika ditemui Mingguan Malaysia di Reda Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun, selepas matang melalui perjalanan masa, Aus et al mula mengorak langkah lebih serius merakamkan lagu-lagu yang dinyanyikan semasa di acara atas permintaan pendengar.

Tetapi perkara itu rupanya tidak mudah dilakukan vokalis merangkap penulis lagu ini iaitu Aus yang menganggap karyanya terlalu peribadi dan belum bersedia melepaskan lagu-lagunya menjadi hak publik.

“Saya sukar melepaskan lagu-lagu saya walaupun sudah ditulis pada 2021. Semuanya sangat peribadi, macam diari yang disimpan.

“Lagu Kau Okay? Ditulis untuk kawan saya yang melalui penderaan oleh pasangan. Setiap kali borak saya akan tanya ‘kau okay?’ Hey Sudahlah! Saya tulis untuk anak. Sebelum ini saya selalu menangis kalau nyanyi lagu Senandung Disember. Cuma sekarang sudah okey.

“Kami mula rakam demo tiga lagu Doa Jumaatku, Senandung Disember dan Hey Sudahlah! menerusi Metodologi pada 2023. Sebelum akhirnya menerbitkan album lengkap, Analisa,” kata Aus.

Bercerita lanjut tentang penghasilan Analisa, album ini melalui penambahbaikan dari aspek muzik serta mendapatkan khidmat rakan penerbit berbeza.

“Banyak yang dilakukan, kita tambah alat muzik macam trompet (horn section) dan strings serta melibatkan penerbit lagu berbeza.

“Bagaimanapun, proses mastering semua dihasilkan Megat Fazly. Ini adalah pembelajaran paling mahal untuk kami lakukan setakat ini. Dulu buat main-main, bila sudah serius baru tahu banyak duit kena keluar.

Tapi hasilnya sangat berbaloi,” kata Ali berseloroh.

Ditanya mengenai hala tuju Aus et al selepas ini, mereka hanya mahu terus menghasilkan naskhah tanpa meletakkan viral atau anugerah sebagai sasaran utama.

“Visi dari awal tulis lagu sampai sekarang tetap sama. Kami cuma mahu terus buat dan hasilkan lagu, dan buat persembahan.

“Kami tidak kisah tentang anugerah atau hendak kejar viral. Kami cuma hendak keluarkan apa kami rasa.

“Hakikatnya, kami tidak reti hendak buat lagu kalau tak rasa benda itu jujur,” kata Aus mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN