KOTA BHARU: Sebanyak 220 orang pekak menerima bakul makanan dan duit raya pada program Menggapai Keberkatan Ramadan OKU di Masjid Jamek Sultan Mansor, Kampung Sireh di sini.
Selain komuniti pekak, program yang mendapat kerjasama Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan itu turut memberi sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU) lain-lain katergori seperti buta, masalah pembelajaran dan fizikal.
Bakul makanan yang diterima mengandungi beras, buah kurma dan beberapa barangan lain.
Majlis disempurnakan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Program menyantuni orang pekak dan lain-lain OKU itu menjadi acara tahunan dan telah bermula sejak 10 tahun lalu hasil cetusan idea Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK).
Antara pengisian program ialah forum agama bertajuk ‘Pembangunan OKU dan Cabaran’ dengan dihadiri lebih 700 kariah.
Di samping itu, pada program berkenaan kalangan orang pekak turut berkesempatan membayar zakat fitrah menerusi kaunter Baitulmal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang terdapat di masjid berkenaan.
Bayaran zakat fitrah itu didahului oleh Presiden POPK, Razani Ramli dan diterjemahkan melalui khidmat jurubahasa isyarat, Noor Haseken P Rameli dan diterima oleh pegawai amil, Khairul Nul Haqim Ayok.
Dalam pada itu, Razani ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terima kerana program berkenaan membuktikan kerajaan negeri dan agensi-agensi terbabit sentiasa mengambil berat mengenai kehidupan serta keperluan komuniti pekak dan lain-lain OKU di negeri ini.
Tambah beliau, kalangan OKU yang hadir begitu teruja apabila pengisian program antara lain forum agama yang bukan sahaja berkisar mengenai Ramadan, malah peranan OKU dalam Islam.
“Menjadi harapan POPK agar lebih banyak ceramah atau forum agama yang menggunakan khidmat jurubahasa bahasa isyarat seperti pada khutbah Jumaat, dapat diadakan kerana ia menjadi keperluan orang-orang pekak di Kelantan,” katanya. – UTUSAN










