PORT DICKSON: Muhammad Zakir Arif Rahim, 28, dari Kajang mencipta kejutan apabila muncul juara Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 selepas menaikkan ikan geruk seberat 1.2 kilogram di laut berhampiran Pengkalan Sungai Sekawang, semalam.
Beliau yang bekerja sendiri menggunakan umpan cacing merah, membawa pulang wang tunai RM10,000, menewaskan lebih 500 pemancing dari seluruh negara yang menyertai pertandingan tahunan tersebut.
“Saya tidak sangka boleh menang. Ini rezeki hujung tahun untuk keluarga,” katanya selepas menerima hadiah yang disampaikan oleh ADUN Linggi merangkap Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli.
Tempat kedua dimenangi oleh Mohamad Sobri Sahda dari Petaling Jaya dengan tangkapan semilang seberat 0.695 kilogram dan menerima RM3,000.
Manakala tempat ketiga milik Mispan Zaidin, 67, dari Banting dengan ikan duri seberat 0.664 kilogram dan membawa pulang RM1,000.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Linggi bersama Nadi Media Events, dengan kerjasama JPKK Sungai Sekawang serta sokongan Tourism Malaysia, sebagai usaha menyokong promosi agro pelancongan luar bandar menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Lebih 200 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan sepanjang acara, antaranya duri, gelama, semilang, belukang, tetanda, tetuka, malong, daun baru, serkut, yu cicak dan buntal.
Penduduk kampung turut mengambil peluang menjana pendapatan melalui jualan makanan dan minuman, menjadikan pertandingan ini sebagai acara komuniti berimpak tinggi yang mampu menjadi produk pelancongan tahunan negeri.
Penganjur memaklumkan bahawa kejayaan penganjuran tahun ini akan menjadi pemangkin untuk meneruskan acara ini pada skala lebih besar tahun hadapan, seiring usaha menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. – UTUSAN










