SK Sikamat dipilih Sekolah Angkat Madani Jabatan Penerangan

SK Sikamat dipilih Sekolah Angkat Madani Jabatan Penerangan

JULINA Johan melihat kemudahan proses PdP yang terdapat di SK Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat di sini dipilih sebagai Sekolah Angkat Madani Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang membolehkan sekolah itu menerima sumbangan dan penambahbaikan kemudahan bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Julina Johan berkata, program berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Madani menerusi peruntukan sebanyak RM100,000.

Menurutnya, ia khusus bagi membantu sekolah yang memerlukan penambahbaikan kemudahan asas pembelajaran.

Katanya, antara infrastruktur yang dinaik taraf adalah penyediaan peralatan baharu di tiga ruang pembelajaran utama iaitu pusat akses, bilik pemulihan khas dan makmal komputer.

“Pemilihan sekolah dibuat adalah berdasarkan senarai yang dikeluarkan KPM. Sebahagian besar sekolah tersenarai mempunyai kemudahan asas mencukupi namun terdapat ruang tertentu yang memerlukan naik taraf,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Sekolah Angkat Madani, Jabatan Penerangan di SK Sikamat di sini semalam.

Julina berkata SK Sikamat mempunyai seramai 1,600 murid dan masih melaksanakan dua sesi persekolahan sekali gus menunjukkan keperluan kemudahan tambahan bagi memastikan kelancaran PdP.

“Antaranya peningkatan elemen digital dan teknologi dalam PdP melalui sumbangan televisyen pintar. Melalui penambahbaikan ini, kami berharap kualiti PdP dapat ditingkatkan serta memberi manfaat jangka panjang kepada murid,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Sikamat, Mohd. Rashed Sahroni, 58, berkata, pemilihan sekolah itu sebagai Sekolah Angkat Madani JAPEN adalah sangat dihargai apatah lagi sekolah rendah berusia 24 tahun itu sememangnya perlu dinaik taraf dengan kemudahan terkini terutama untuk sesi PdP.

“Murid sangat teruja. Apabila mereka lihat bilik baharu dan moden, semangat mereka turut meningkat.

“Kami amat menghargai usaha JaPen yang bukan sahaja menyiapkan projek ini dengan pantas tetapi juga memastikan kualiti kerja memuaskan.

“Kemudahan yang diterima termasuk penyaman udara baharu, televisyen pintar, kemasan dinding dan lantai sekali gus memberikan suasana pembelajaran lebih selesa,” katanya.

Mohd. Rashed juga berharap kemudahan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menarik minat murid ke sekolah dan meningkatkan prestasi mereka.

Sementara itu, Program Pentarama Homecoming (Edisi Khas) turut diadakan dalam majlis itu yang bertujuan memupuk semangat patriotisme, jati diri dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan murid.

Program berkenaan menjadi platform penyampaian dasar interaktif serta mengukuhkan hubungan strategik antara JaPen, pihak sekolah dan komuniti setempat melalui hiburan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN