Ribuan kunjungi Festival Makan@Ampang

Ribuan kunjungi Festival Makan@Ampang serlahkan keharmonian komuniti

festival makan
SEBAHAGIAN daripada orang ramai yang mengunjungi Festival Makan@Ampang 2025 yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Penjaja Selangor melabuhkan tirainya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Festival Makan@Ampang 2025 yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Penjaja Selangor melabuhkan tirainya hari ini dengan kejayaan cemerlang, selepas berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dari 14 hingga 16 November di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah.

Bertemakan “Rakyat Harmoni, Ampang Sejahtera”, festival anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu bukan sahaja menjadi medan meriah untuk aktiviti kekeluargaan, malah mencapai matlamatnya sebagai hab makanan pelbagai cita rasa — tempatan mahupun antarabangsa.

Lebih 50 vendor makanan dan minuman menyertai festival berkenaan, menawarkan pelbagai juadah tradisional, makanan jalanan popular, serta menu moden yang menjadi tarikan utama pengunjung dari seluruh Lembah Klang.

Festival ini turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti permainan mini karnival, pertandingan mewarna kanak-kanak, serta cabutan bertuah, menjadikan suasana tapak acara sentiasa meriah dengan gelak tawa dan sorakan pengunjung.

Kemuncak acara pada hari ketiga menyaksikan pelbagai aktiviti komuniti dianjurkan, antaranya Jalan Santai MPAJ sejauh 3KM, Cabaran Chef Cilik, Explorasi Sukan Rakyat, sukaneka keluarga, serta pertandingan mewarna yang menerima sambutan menggalakkan.

Majlis penutup diserikan dengan kehadiran Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari, yang meluangkan masa menyantuni para pengunjung, peniaga serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Menurut beliau, penganjuran festival sebegini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Penjaja, malah mengukuhkan keharmonian komuniti dan menyumbang secara langsung kepada perkembangan ekonomi setempat.

“MPAJ sentiasa menyokong program berimpak tinggi seperti ini kerana ia membantu membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera, selain memartabatkan penjaja sebagai tulang belakang ekonomi tempatan,” ujarnya kepada media.

Dengan pelbagai pengisian menarik, Festival Makan @ Ampang 2025 berjaya merealisasikan visinya sebagai pusat tumpuan makanan tempatan dan antarabangsa, di samping menyatukan masyarakat dalam suasana penuh keceriaan dan muhibah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN