PETALING JAYA: Rumah tangga pemain sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim akhirnya disahkan sudah berakhir oleh mahkamah syariah.
Mahkamah Rendah Syariah Klang hari ini mengesahkan perceraian talak dua antara pemain Selangor FC itu dan isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril.
Memetik laporan sebuah portal berita, peguam yang mewakili Faisal iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor telah mengesahkan lafaz cerai.
Dan Syazwani kini difahamkan sedang menjalani tempoh idah sehingga 10 Januari hadapan.
Akberdin juga memaklumkan bahawa perbincangan mengenai hak jagaan anak serta pembahagian harta sepencarian masih berjalan bersama peguam Syazwani.
“Setakat ini, saya sudah menyerahkan cadangan penyelesaian dalam bentuk tulisan berkenaan hak jagaan anak dan harta sepencarian kepada peguam Syazwani.
“Saya dimaklumkan peguamnya akan meniliti terlebih dahulu sebelum masing-masing mencapai kata sepakat. Saya difahamkan mereka menyambut baik cadangan yang kami berikan,” katanya.
Pada 2 September lalu, Syazwani telah memfailkan permohonan cerai terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.
Faisal dan Nur Syazwani mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Khalish Aryan.










