Warga emas tertukar ketika lahir menang saman RM1.05 juta

Warga emas tertukar ketika lahir menang saman RM1.05 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Seorang pemandu lori di Jepun yang hidup dalam kemiskinan selepas didapati tertukar ketika lahir dengan bayi daripada keluarga kaya, memenangi saman terhadap hospital terlibat dan diperintahkan menerima pampasan sebanyak 38 juta yen (RM1.05 juta).

Kes yang berlaku pada tahun 2013 itu kembali tular di media sosial susulan beberapa laporan terkini di China mengenai kanak-kanak yang diculik pada usia muda dan dibesarkan dalam keluarga miskin sebelum disatukan semula dengan ibu bapa kandung mereka yang kaya.

Mahkamah di Tokyo pada November 2013 memutuskan Hospital San-ikukai di daerah Sumida bersalah menukar dua bayi yang dilahirkan pada tahun 1953, menyebabkan mangsa kini berusia 60 tahun hidup sengsara selama enam dekad.

Kesilapan itu hanya terbongkar selepas adik beradik kepada lelaki yang dibesarkan dalam keluarga kaya mula meragui pertalian mereka, selepas si abang yang tidak sedarah itu dikatakan menahan harta pusaka bapanya dan menghantar lelaki itu ke rumah jagaan orang tua.

Adik-adiknya kemudian mula menyedari rupa abang yang berbeza, dan teringat cerita mendiang ibu mereka pakaian bayi tersebut berubah selepas dimandikan jururawat di hospital.

Mereka akhirnya mengumpul puntung rokok yang dibuang oleh abangnya dan menjalankan ujian DNA pada tahun 2009 dan keputusan menunjukkan lelaki itu tiada pertalian darah dengan keluarga tersebut.

Siasatan lanjut terhadap rekod hospital membawa kepada penemuan seorang pemandu lori di Tokyo yang sebenarnya merupakan anak kandung keluarga kaya itu.

Mangsa, yang dilahirkan hanya 13 minit lebih awal daripada bayi yang tertukar dengannya, dibesarkan dalam keluarga miskin di mana bapa angkatnya meninggal dunia ketika dia berusia dua tahun dan terpaksa bekerja sambilan bagi menampung persekolahan menengah dalam rumah tanpa kelengkapan elektrik.

Lelaki itu juga sering diberitahu oleh jiran dan ibunya sendiri mengenai wajahnya yang tidak menyerupai sesiapa dalam keluarga.

Sementara itu, bayi yang sepatutnya dibesarkan dalam keluarga miskin menikmati kehidupan serba mewah, mendapat pendidikan tinggi dan kemudiannya menjadi ketua syarikat bersama tiga adik-beradik lain yang turut berjaya namun, ketika pemandu lori itu mengetahui identiti sebenar dirinya, kedua-dua ibu bapa kandungnya sudah pun meninggal dunia.

Hakim, Masatoshi Miyasaka dalam keputusannya berkata, mahkamah berpihak kepada plaintif kerana dipisahkan daripada ibu bapa kandungnya sejurus selepas dilahirkan dan tidak akan pernah berpeluang bertemu mereka.

Hakim turut menegaskan pampasan itu wajar diberikan kerana dia sepatutnya dibesarkan dalam persekitaran yang lebih selesa dan terjamin.

Kes itu turut dibandingkan dengan kejadian di China yang tular baru-baru ini, melibatkan Xie Qingshuai, 27, yang ditemukan semula dengan bapa kandungnya, seorang jutawan dan menerima tiga pangsapuri lengkap sebagai hadiah pertemuan semula. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN