TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi menegaskan usaha mengukuhkan pakatan dengan Amerika Syarikat (AS) kini menjadi keutamaan pentadbirannya ketika mengadakan panggilan telefon dengan Presiden AS, Donald Trump semalam.
Panggilan itu dibuat beberapa hari sebelum lawatan rasmi Trump ke Tokyo dalam rangka jelajah serantau dan merupakan perbualan pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Takaichi mengangkat sumpah jawatan awal minggu ini, lapor media Jepun.
“Kami bersetuju untuk bekerjasama bagi membawa pakatan Jepun-AS ke tahap baharu.
“Saya memberitahu beliau, memperkukuh pakatan Jepun-AS adalah keutamaan utama kerajaan saya dalam bidang diplomasi dan keselamatan,” katanya kepada wartawan.
Takaichi turut menyifatkan Trump sebagai seorang yang ‘ceria dan menyenangkan’.
Dalam satu hantaran di platform X, beliau berkata, perbualan itu berlangsung secara baik dan terbuka.
Trump dijadualkan melawat Jepun mulai Isnin, sebelum meneruskan perjalanan ke Korea Selatan untuk rundingan perdagangan penting dengan Presiden China, Xi Jinping.
Presiden AS itu sebelum ini menyeru Tokyo dan sekutu lain meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka.
Dalam ucapan dasar pertamanya pada Jumaat, Takaichi mengumumkan dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun akan dibelanjakan untuk pertahanan pada tahun fiskal ini, sekali gus mencapai sasaran kerajaan dua tahun lebih awal.-AFP










