UPM pacu komuniti hijau, sokong agenda sekuriti makanan negara

UPM pacu komuniti hijau, sokong agenda sekuriti makanan negara

UPM
Norazman Ayob dan Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah melawat salah sebuah gerai pada Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SERDANG: Dengan matlamat membawa inovasi ke akar umbi, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2025 bagi memperkasakan komuniti hijau dan menyemarakkan semangat keterjaminan makanan dalam kalangan masyarakat tani seluruh negara.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Norazman Ayob, berkata kerjasama erat antara UPM dan komuniti menjadi pemangkin utama dalam membina daya tahan ekonomi masyarakat luar bandar.
“Pemindahan ilmu yang komprehensif dan inklusif oleh pakar UPM dan swasta telah banyak membantu komuniti, khususnya golongan B40, menjana pendapatan sampingan melalui aktiviti pertanian. Ia adalah bukti bahawa ilmu dan inovasi universiti boleh mengubah kehidupan rakyat.
“Saya menyarankan agar UPM terus memperluas peranan sebagai pusat ilmu yang mendekati masyarakat melalui jaringan universiti, agensi dan komuniti bagi memperkukuh latihan serta kemahiran pertanian di peringkat akar umbi.
“Sumbangan kepakaran universiti perlu diteruskan agar sinergi ini dapat membantu meningkatkan keterjaminan makanan negara. Usaha ini bukan sahaja memperkukuh sektor pertanian, malah membentuk komuniti hijau yang berdaya saing dan lestari,” katanya.
Penganjuran PKPK 2025 yang berlangsung pada 18 hingga 19 Oktober di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) bertujuan mengetengahkan kejayaan komuniti pertanian tempatan selain memperluas jaringan penglibatan antara pusat tanggungjawab UPM, agensi kerajaan dan industri.
UPM
Norazman Ayob merasmikan Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2025.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, persidangan itu mencerminkan komitmen UPM dalam memperkasa pengembangan ilmu pertanian melalui pelbagai platform dan teknologi baharu yang memberi impak kepada masyarakat.
“Persidangan ini adalah langkah proaktif UPM bagi memperkukuh pendekatan pengembangan kepakaran secara terus kepada golongan sasar melalui agensi pembangunan setempat.
“Usaha ini mendokong Matlamat 3 UPM iaitu Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri dan Masyarakat,” katanya.
Beliau menambah bahawa perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menuntut perubahan dalam kaedah pengembangan ilmu masa kini.
“Peranan universiti kekal penting, tetapi pendekatan pengembangan digital dan penggunaan Internet of Things (IoT) perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Sudah tiba masanya kebun komuniti diintegrasikan dengan teknologi yang sesuai agar manfaatnya dapat dinikmati oleh pelbagai pihak,” jelasnya.
Dalam pada itu, UPM kekal berpaksikan tiga peranan utama penubuhannya iaitu pengajaran, penyelidikan dan pengembangan, sebagai teras sumbangan universiti kepada komuniti dan pembangunan negara.
“Sehingga kini, UPM giat melaksanakan pelbagai program pemindahan ilmu dan khidmat nasihat pertanian di seluruh negara, termasuk memperkasa masyarakat luar bandar melalui latihan, penyelidikan dan pengembangan teknologi,” katanya. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN