Trump sahkan jalani imbasan MRI

Trump sahkan jalani imbasan MRI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendedahkan beliau menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) semasa lawatan terkininya ke hospital, penjelasan pertama mengenai sebab beliau menjalani pemeriksaan kesihatan kedua dalam tempoh setahun.

Bilionair Republikan berusia hampir 80 tahun itu berdepan kritikan kerana dianggap kurang telus mengenai tahap kesihatannya.

Lawatan mengejut ke Pusat Perubatan Tentera Walter Reed di pinggir Washington awal Oktober lalu turut mencetuskan spekulasi mengenai keadaan fizikalnya.

“Saya memang jalani MRI. Keputusannya sempurna. Saya sudah berikan laporan penuh kepada anda. Kami buat imbasan MRI, dan semuanya sempurna,” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One.

MRI digunakan untuk mendiagnosis pelbagai keadaan, daripada ketumbuhan, strok, dan sklerosis berbilang, sehinggalah kepada masalah ringan seperti koyakan otot atau keradangan.

Rumah Putih sebelum ini tidak memberikan sebarang sebab bagi pemeriksaan hospital pada 10 Oktober itu, yang dianggap luar biasa kerana Presiden biasanya hanya menjalani satu pemeriksaan menyeluruh setiap tahun.

Trump yang juga Presiden tertua dalam sejarah AS enggan menjelaskan sebab sebenar beliau perlu menjalani saringan tersebut, sebaliknya merujuk wartawan kepada doktornya.

“Tiada siapa pernah berikan laporan kesihatan seterperinci seperti saya. Kalau saya fikir keputusannya tidak baik pun, saya akan beritahu, saya tidak akan teruskan bertanding.

“Tetapi doktor kata laporan saya antara yang terbaik untuk usia saya, malah antara yang terbaik mereka pernah lihat,” katanya.

Sepanjang penggal keduanya, Trump kerap dilihat mempunyai lebam pada tangan kanan, kadang kala ditutup dengan solekan tebal.

Rumah Putih menjelaskan ia berpunca daripada pengambilan aspirin sebagai sebahagian daripada program kesihatan kardiovaskular standard.

Pentadbiran beliau turut mengumumkan pada musim panas lalu beliau diperiksa kerana pembengkakan pada kaki dan didiagnosis dengan kekurangan vena kronik, keadaan biasa yang menjejaskan injap urat dan menyebabkan darah berkumpul, namun boleh dirawat dengan ubat atau prosedur perubatan.

Menurut Rumah Putih, keputusan makmal semasa pemeriksaan kedua termasuk saringan jantung berada dalam julat normal tanpa tanda-tanda penyakit arteri atau trombosis vena dalam.

“ Trump terus menunjukkan tahap kesihatan keseluruhan yang sangat baik,” tulis doktornya, Kapten Tentera Laut Sean Barbabella dalam surat yang dikeluarkan oleh Rumah Putih.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN