Tiada istilah ‘serah tengkuk’ kepada AS

Tiada istilah ‘serah tengkuk’ kepada AS

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak wujud istilah ‘serah tengkuk’ kepada ATengku Zafrul Tengku Abdul Azizmerika Syarikat (AS) dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), walaupun di bawah tekanan tarif unilateral sejak Mei 2025.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rundingan itu adalah langkah strategik untuk mengekalkan akses Malaysia ke pasaran eksport AS yang mencatat RM198.65 bilion pada 2024, daripada jumlah perdagangan keseluruhan Malaysia-AS sebanyak RM325 bilion.

“Ini bukan pilihan, tetapi satu keperluan untuk melindungi kepentingan rakyat dan ekonomi negara. Rundingan dilakukan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan pekerjaan jutaan rakyat Malaysia,” katanya dalam sesi penerangan ART Malaysia-AS di Dewan Rakyat, hari ini.

Zafrul berkata, hasil rundingan membolehkan Malaysia menurunkan kadar tarif daripada 25 peratus kepada 19 peratus, kadar terendah di kalangan negara ASEAN yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS.

“Malaysia juga berjaya mendapatkan pengecualian bagi 1,711 barisan produk eksport utama, termasuk minyak sawit, getah, koko, komponen dan alat ganti pesawat serta farmaseutikal. Secara kolektif, produk ini menyumbang RM22 bilion atau 12 peratus daripada eksport Malaysia ke AS pada 2024,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, garis merah negara tetap terpelihara sepanjang rundingan.

“Hak bumiputera, dasar perolehan kerajaan, sektor tenaga, telekomunikasi dan isu halal tidak dikompromi.

“Produk halal dari AS hanya diiktiraf jika memenuhi piawaian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Bagi sektor mineral kritikal dan mineral nadir bumi (REE), Malaysia mengekalkan dasar melarang eksport bahan mentah tanpa diproses,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama strategik dengan AS atau negara lain dibenarkan hanya mengikut undang-undang dan kawalan kedaulatan Malaysia.

“Perjanjian ART juga menaik taraf hubungan Malaysia-AS kepada perkongsian strategik komprehensif, menjadikan Malaysia rakan kongsi rantaian bekalan yang dipercayai. Langkah ini membuka peluang pelaburan teknologi tinggi, pemindahan teknologi dan akses rantaian bekalan yang lebih selamat, sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya.

Tengku Zafrul turut menafikan dakwaan bahawa Malaysia akan membeli produk berjumlah RM1 trilion dari AS.

“Semua pembelian melibatkan perolehan Boeing oleh Malaysia Aviation Group dan gas asli cecair (LNG) oleh Petronas adalah keputusan komersial syarikat tempatan dan tidak melibatkan sebarang dana kerajaan.

“Rundingan ART jelas menunjukkan komitmen kerajaan melindungi rakyat, sektor perniagaan, dan daya saing Malaysia di peringkat global. Malaysia bukan negara yang tunduk atau mengikut telunjuk mana-mana kuasa besar,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendesak sidang tergempar Dewan Rakyat diadakan bagi membincangkan ART Malaysia-AS yang dimuktamadkan Ahad lalu.

Menurutnya, perjanjian yang dimeterai semasa kunjungan rasmi Presiden AS, Donald Trump perlu diperhalusi semula kerana melibatkan soal kedaulatan negara dan kepentingan dasar luar Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN