Trump enggan ‘buang masa’ jumpa Putin 

Trump enggan ‘buang masa’ jumpa Putin 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak jangkaan sidang kemuncak dengan pemimpin Russia, Vladimir Putin dalam masa terdekat walaupun seorang perunding kanan Kremlin kini berada di Washington untuk berbincang dengan pegawai AS mengenai usaha menamatkan perang di Ukraine.

Beliau berkata demikian kepada wartawan di atas pesawat Air Force One ketika dalam perjalanan ke Asia, beberapa hari selepas rancangan sidang kemuncak dengan Putin di Budapest terbatal.

“Saya perlu pastikan kita akan mencapai perjanjian. Saya tidak akan membuang masa saya.

“Saya sentiasa mempunyai hubungan yang baik dengan Putin, tetapi kali ini amat mengecewakan. Saya sangka perkara ini akan selesai lebih awal daripada perdamaian di Asia Barat,” katanya.

Kenyataan Trump dibuat ketika Perunding Kremlin, Kirill Dmitriev mengadakan pertemuan dengan pegawai pentadbiran Trump yang berlangsung sejak Jumaat.

Menurut laporan media AS, Dmitriev turut bertemu Utusan khas Trump, Steve Witkoffdi Florida pada Sabtu.

Dalam temu bual bersama CNN pada Jumaat, Dmitriev berkata, penyelesaian diplomatik terhadap konflik Ukraine kini dalam jangkauan, selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyatakan sokongan terhadap cadangan Trump menjadikan garis hadapan semasa sebagai asas rundingan dengan Russia.

“Saya percaya Rusia, AS dan Ukraine sebenarnya semakin hampir kepada penyelesaian diplomatik.

“Ia langkah besar oleh Zelensky untuk mengakui perbincangan kini berasaskan garis pertempuran. 

‘Sebelum ini beliau menegaskan Russia mesti berundur sepenuhnya. Jadi saya fikir kita kini agak hampir kepada penyelesaian diplomatik yang boleh dimuktamadkan,” katanya.

Lawatan Dmitriev ke AS dibuat selepas Washington mengenakan sekatan pada Rabu terhadap dua syarikat minyak terbesar Russia.

Trump sebelum ini menangguhkan pelaksanaan sekatan terhadap Russia selama beberapa bulan, namun kesabarannya tamat selepas rancangan sidang kemuncak baharu dengan Putin di Budapest gagal diteruskan, menyusuli rundingan tidak berjaya di Alaska pada Ogos.

Bagaimanapun, jutawan Republikan itu menyatakan harapan agar sekatan terhadap Rosneft dan Lukoil bersifat sementara dan perang akan dapat diselesaikan.

Putin mengakui sekatan itu serius dan boleh menjejaskan hubungan Russia-AS yang mula pulih tetapi menegaskan ia tidak cukup untuk menjejaskan ekonomi Rusia secara ketara.

Beliau bagaimanapun mendakwa masih terbuka untuk berdialog dengan Trump, manakala Dmitriev pada Jumaat berkata, pertemuan antara kedua-dua pemimpin akan tetap berlaku, tetapi mungkin pada tarikh yang lebih lewat.

Sementara itu, Zelensky menyambut baik sekatan AS sebagai isyarat tegas dan sangat diperlukan bagi memastikan pencerobohan tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas.

Kesatuan Eropah (EU) turut mengenakan sekatan keras ke atas sektor minyak dan gas Russia secara selari dengan langkah dilaksanakan AS.-AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN