LONDON: Pemanasan global kini meragut satu nyawa setiap minit di seluruh dunia, menurut laporan terbaharu mengenai kesan krisis iklim terhadap kesihatan manusia yang diterbitkan oleh The Lancet Countdown on Health and Climate Change semalam.
Laporan yang disifatkan paling komprehensif setakat ini mendapati ketagihan dunia terhadap bahan api fosil bukan sahaja menyebabkan pemanasan global, tetapi turut mengakibatkan pencemaran udara toksik, kebakaran hutan serta penyebaran penyakit seperti demam denggi.
Menurut laporan itu, kadar kematian akibat haba meningkat sebanyak 23 peratus sejak 1990-an, dengan purata 546,000 kematian setahun dicatatkan antara 2012 hingga 2021 bersamaan satu kematian setiap minit.
Ketua penyelidik laporan itu, Dr. Marina Romanello dari University College London (UCL), berkata, dunia sedang menghadapi situasi yang suram dan tidak dapat dinafikan apabila kemusnahan terhadap nyawa serta mata pencarian terus meningkat selagi penggunaan bahan api fosil diteruskan.
“Kita melihat jutaan kematian berlaku setiap tahun tanpa sebab yang wajar hanya kerana kelewatan dalam mengurangkan perubahan iklim serta lambat menyesuaikan diri dengan kesannya,” katanya.
Laporan itu turut mendapati pada tahun 2023, kerajaan dunia memberikan AS$956 bilion (RM4 trilion) dalam bentuk subsidi langsung kepada syarikat bahan api fosil bersamaan AS$2.5 bilion (RM10 bilion) sehari, walaupun 2023 menjadi tahun paling panas dalam sejarah sebelum diatasi oleh 2024.
Dalam tempoh sama, pekerja di seluruh dunia kehilangan jumlah pendapatan yang hampir sama akibat suhu tinggi yang menghalang mereka bekerja di ladang dan tapak binaan.
Sebaliknya, pengurangan penggunaan arang batu dalam tempoh sedekad lalu menyelamatkan kira-kira 400 nyawa setiap hari, manakala tenaga boleh diperbaharui menunjukkan peningkatan pesat namun, pakar menegaskan masa depan yang sihat tidak mungkin tercapai jika kewangan terus disalurkan kepada sektor bahan api fosil.
Menurut laporan itu lagi, dalam tempoh empat tahun terakhir, setiap individu di dunia secara purata terdedah kepada 19 hari suhu panas melampau setiap tahun dan 16 daripada hari tersebut tidak akan berlaku tanpa pemanasan global yang berpunca daripada aktiviti manusia.-AGENSI










