PYONGYANG: Penduduk Korea Utara sanggup memasak dan memakan haiwan terancam seperti harimau dan musang liar akibat kebuluran yang berlarutan, susulan kegagalan sistem pengagihan makanan negara itu.
Sementara pemimpin tertinggi Kim Jong-un menikmati kehidupan mewah, rakyatnya terus bergelut untuk mendapatkan makanan.
Berdasarkan laporan terkini yang mengumpulkan maklumat daripada 42 pelarian Korea Utara, keadaan di negara tertutup itu semakin meruncing sehingga rakyat terpaksa ‘mencipta’ menu daripada apa sahaja yang boleh dimakan.
Menurut Joshua Elves-Powell dari University College London, hampir semua spesies mamalia di Korea Utara yang lebih besar daripada landak kini diburu untuk dijadikan makanan atau dagangan.
Laporan itu turut menyatakan keruntuhan sistem pengedaran makanan kerajaan mencetuskan aktiviti pemburuan besar-besaran oleh penduduk, termasuk bekas tentera dan peniaga tempatan.
Kebuluran besar pada lewat 1990-an dikatakan menjadi titik permulaan kepada budaya memburu ini, dan ia berterusan walaupun ekonomi negara tersebut sedikit pulih beberapa tahun kemudian.
Antara spesies yang kini berisiko tinggi akibat aktiviti memburu termasuk harimau Siberia, harimau bintang Amur, serta sable iaitu sejenis mamalia kecil yang turut digunakan untuk menghasilkan bulu mewah.
Haiwan lain yang dilaporkan menjadi hidangan termasuk beruang, memerang, rusa, serta goral berekor panjang, sejenis haiwan mirip kambing gunung.
Dalam keadaan terdesak, rakyat turut memakan musang, badger dan weasel.