KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah melanggar protokol sebaik tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi apabila mengajak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki kenderaan bersama.
Anwar berkata, Trump secara berbesar hati telah menjemputnya untuk menaiki kenderaan bersama bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
“Ketika ketibaan (Trump), beliau jemput saya untuk naik kenderaan bersamanya. Saya kata, itu bertentangan dengan peraturan keselamatan dan protokol.
“Namun beliau berasa teruja untuk melanggar peraturan itu dan perjalanan kami menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Kemboja-Thailand sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini hari ini.










