PKK umum berundur dari Turkiye, mahu dibenarkan sertai politik

PKK umum berundur dari Turkiye, mahu dibenarkan sertai politik

SABRI Ok (tengah) bercakap kepada wartawan selepas upacara khas pengunduran tentera di kawasan Qandil, utara Iraq.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Kumpulan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) mengumumkan pengunduran sepenuhnya dari wilayah Turkiye sebagai sebahagian daripada proses pelucutan senjata yang diselaraskan bersama Ankara, sekali gus menuntut langkah susulan bagi membolehkan mereka menyertai arena politik secara sah.

PKK yang melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap kerajaan Turkiye sejak 1984, membuat keputusan pada Mei lalu untuk melucutkan senjata dan membubarkan organisasi mereka selepas menerima seruan daripada pemimpinnya yang kini dipenjarakan, Abdullah Ocalan.

Konflik selama empat dekad itu sudah meragut lebih 40,000 nyawa.

Pada Julai lalu, kumpulan yang diisytihar sebagai pertubuhan pengganas oleh Turkiye, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) itu turut membakar sebahagian senjata dalam satu upacara simbolik sebagai tanda komitmen terhadap proses perdamaian.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan pemimpin kanannya, Sabri Ok ketika majlis khas di Pergunungan Qandil, kubu kuat PKK di utara Iraq, kumpulan itu memaklumkan semua pejuang mereka akan ditarik keluar dari wilayah Turkiye bagi membuka jalan ke arah kehidupan yang bebas, demokratik dan bersaudara.

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan mencerminkan komitmen penuh PKK terhadap proses pelucutan senjata dan integrasi semula, sambil menyeru kerajaan Turkiye menggubal undang-undang bagi memudahkan peralihan kumpulan itu ke dalam politik demokratik.

“Oleh itu, pihak satu lagi (kerajaan Turkiye) perlu melaksanakan perubahan politik dan menyediakan suasana yang sesuai bagi merealisasikan projek ini,” kata jurucakap PKK, Zagros Hiwa, di Pergunungan Qandil.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi kepada Presiden Turkiye, Burhanettin Duran, menyifatkan pengumuman pengunduran itu sebagai satu perkembangan positif dan menegaskan kerajaan komited mencapai keamanan dan kestabilan jangka panjang.

“Langkah baharu ini adalah perkembangan yang positif bagi mencapai matlamat pelucutan senjata sepenuhnya oleh PKK,” katanya dalam satu hantaran di platform X.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, matlamat perjuangan PKK berubah daripada menuntut penubuhan negara merdeka kepada memperjuangkan hak masyarakat Kurdish dan autonomi terhad di tenggara Turkiye yang majoritinya oleh dihuni etnik tersebut.

Ankara menegaskan hak masyarakat Kurdish tetap dilindungi, namun tidak akan sesekali membenarkan sebarang bentuk gerakan pemisah. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN