Pihak Berkuasa Palestin ‘restu’ peranan Tony Blair pulihkan Gaza

Pihak Berkuasa Palestin ‘restu’ peranan Tony Blair pulihkan Gaza

RAKYAT Palestin berkumpul di sekitar trak bantuan yang masuk dari persimpangan Karem Abu Salem, di Khan Younis, selatan Gaza, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN: Bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Tony Blair menerima sokongan daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk terlibat dalam usaha pembinaan semula Gaza.

Perkara itu susulan satu pertemuan yang diadakan antara Blair dan Timbalan Presiden PA merangkap Ketua Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hussein al-Sheikh di Amman, Jordan, kelmarin.

Ini merupakan pertemuan rasmi pertama antara Blair dan kepemimpinan Palestin sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan pelan 20 perkara yang menyentuh peranan Blair dalam penyelesaian konflik di Gaza.

Sebelum ini, Blair turut menghadiri beberapa pertemuan penting bersama pemimpin Arab semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Namun, pertemuan di Jordan itu sebagai langkah awal untuk menguji reaksi terhadap kemungkinan peranannya bersama kepemimpinan Palestin.

Bagaimanapun, Hamas, yang menyatakan tidak berperanan dalam kerajaan Gaza pada masa hadapan, menentang penglibatan Blair dan idea penubuhan badan luar yang bertindak sebagai ‘penjaga’ asing ke atas wilayah Palestin.

Kuasa sebenar ‘lembaga ke­amanan’ yang dicadangkan Trump dan hubungannya dengan jawatankuasa teknokrat yang terdiri daripada rakyat Palestin dilantik masih belum diperjelaskan.

“Hari ini, saya bertemu dengan Tony Blair untuk membincangkan situasi selepas perang dan usaha Presiden Trump yang bertujuan menghentikan peperangan serta mewujudkan keamanan berkekalan di rantau ini.

“Kami mengesahkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Presiden Trump, Blair dan rakan-rakan lain untuk mengekalkan gencatan senjata, membolehkan bantuan kemanusiaan masuk, pembebasan tebusan dan tahanan, dan seterusnya memulakan proses pemulihan dan pembinaan semula,” kata Hussein.

Beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk menghentikan sebarang usaha yang melemahkan kedudukan PA, khususnya berkaitan pemulangan hasil cukai yang kini ditahan oleh Israel.

Pada masa sama, Hussein turut menyeru penyelesaian dua negara tidak terus digagalkan, sebagai langkah penting ke arah mencapai keamanan menyeluruh serta berkekalan selaras legitimasi antarabangsa.

PA bertegas hasil cukai yang ditahan kerajaan Israel segera dipulangkan, memandang­kan penahanan tersebut menghalang pembayaran gaji kakitangan serta menjejaskan aliran tunai, tindakan dianggap melanggar Perjanjian Oslo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN