MOSCOW: Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Russia, Dmitry Medvedev pada Isnin menegaskan pembebasan tebusan Israel dan tahanan Palestin adalah langkah positif, namun ia tidak akan membawa kedamaian yang berkekalan selagi sebuah negara Palestin yang berdaulat tidak ditubuhkan mengikut ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), lapor agensi Anadolu.
“Pembebasan tebusan Israel dan tahanan Palestin memang sesuatu yang baik, tetapi ia tidak akan menyelesaikan apa-apa.
“Selagi sebuah negara Palestin sebenar tidak diwujudkan berdasarkan resolusi PBB yang sudah diketahui umum, tiada apa yang akan berubah. Perang akan terus berlaku. Semua orang faham perkara ini,” katanya.
Awal Isnin, kumpulan Hamas membebaskan 20 tebusan Israel yang masih hidup sebagai pertukaran kepada hampir 2,000 tahanan Palestin di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza.
Kumpulan itu turut memaklumkan mereka akan menyerahkan mayat empat tebusan Israel pada hari yang sama.
Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan yang beliau bentangkan pada 29 September bagi mewujudkan gencatan senjata di Gaza.
Pelan itu turut merangkumi pembebasan semua tebusan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza. Fasa pertama perjanjian itu mula berkuat kuasa pada Jumaat.
Fasa kedua pelan berkenaan menyeru penubuhan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, pembentukan pasukan pelbagai negara serta perlucutan senjata kumpulan tersebut.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah meragut nyawa lebih 67,800 penduduk Palestin di wilayah Gaza dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan menjadikan kawasan itu hampir tidak lagi sesuai didiami. -AGENSI