PORTO ALEGRE: Pemain papan luncur terkenal Brazil, Sandro Dias mencipta sejarah apabila melakukan aksi meluncur luar biasa bersama Red Bull dari bangunan setinggi 22 tingkat ke dalam landasan melengkung khas sehingga mencapai kelajuan lebih 100 kilometer sejam (km/j)
Projek dikenali sebagai Red Bull Building Drop itu berlangsung di Centro Administrativo Fernando Ferrari (CAFF) di Porto Alegre pada 25 September lalu.
Diaz yang juga pemegang rekod kebangsaan Brazil dengan kemenangan terbanyak dalam World Cup Skateboarding (Vert), meluncur laju di tapak sementara setinggi 88.91 meter, yang dibina di sisi bangunan tersebut.
Dari titik tertinggi hingga ke bahagian paling bawah, jarak jatuhan mencecah 60.33 meter, menjadikan aksi itu antara yang paling berisiko dan menakjubkan dalam sejarah sukan papan luncur.
Sepanjang perjalanan selama lapan saat, Diaz mencatat kelajuan maksimum 103.8 km/j dan menahan daya graviti hampir empat kali ganda berat badannya sendiri, dengan daya tindak balas tanah (GRF) bersamaan tekanan 280 kilogram (kg) ke atas tubuhnya.
Atas kejayaan luar biasa itu, beliau menerima dua gelaran Rekod Dunia Guinness, masing-masing bagi kelajuan terpantas meluncur di landasan quarter pipe sementara dan jatuhan tertinggi ke dalam lokasi itu.
“Saya sangat berbesar hati mencapai hasil ini pada tahap karier saya sekarang. Saya merasai setiap detik persiapan, latihan dan keyakinan terhadap impian ini sewaktu melakukan terjunan terakhir itu.
“Papan luncur tetap menjadi semangat hidup saya serta cara saya untuk terus menginspirasi generasi baharu dalam sukan ini,” katanya.
Dikenali sebagai ‘Raja 540’ pemain papan luncur berusia 50 tahun itu sudah meraih pelbagai pencapaian gemilang sepanjang kariernya termasuk enam kejuaraan dunia kategori Vertical Skateboarding, tiga pingat emas X-Games, tiga kejuaraan Eropah, serta pelbagai gelaran lain di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.-AGENSI