Pakistan-Afghanistan gagal capai penyelesaian damai

Pakistan-Afghanistan gagal capai penyelesaian damai

ANGGOTA keselamatan Taliban tiba di daerah Zazau Maidan di wilayah Khost berhampiran sempadan Afghanistan-Pakistan untuk rondaan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Rundingan antara Pakistan dan Afghanistan bagi mencapai gencatan senjata berkekalan gagal menghasilkan sebarang penyelesaian.

Islamabad memberi amaran negaranya akan mengambil langkah untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman keganasan.

Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar berkata, rundingan selama empat hari di Istanbul yang dikendalikan Qatar dan Turkiye itu ‘tidak membawa hasil’ selepas Afghanistan menyimpang daripada isu utama serta terus menyalahkan Pakistan.

“Malangnya, pihak Afghanistan tidak memberikan sebarang jaminan dan hanya terlibat dalam permainan menuding jari,” katanya di platform X.

Rundingan itu diadakan susulan pertempuran sempadan paling dahsyat antara kedua-dua negara dalam beberapa tahun yang mengorbankan lebih 70 orang dan mencederakan ratusan lagi.

Keganasan tercetus selepas letupan di Kabul pada 9 Oktober yang didakwa pihak berkuasa berpunca daripada Pakistan.

Tarar menegaskan, Islamabad berunding dengan semangat keamanan, namun menuduh kerajaan Taliban terus memberi sokongan berterusan kepada pengganas anti-Pakistan.

“Kami akan terus mengambil segala langkah perlu untuk melindungi rakyat kami daripada ancaman keganasan,” katanya, sambil berikrar untuk menghapuskan pengganas, tempat perlindungan mereka serta penyokongnya.

Hubungan antara dua bekas sekutu yang berkongsi sempadan sepanjang 2,600 kilometer (km) itu merosot dalam beberapa tahun terakhir, susulan Islamabad menuduh Afghanistan melindungi kumpulan militan yang melancarkan serangan di Pakistan.

Antara kebimbangan utama Islamabad ialah kumpulan militan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP).

Pakistan menuduh Taliban membenarkan TTP menggunakan wilayah Afghanistan sebagai pangkalan latihan dan logistik serta tempat pelancaran aktiviti keganasan, menurut kenyataan Tarar.

Bagaimanapun, kerajaan Taliban secara konsisten menafikan dakwaan tersebut.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN