Pakar bedah keluarkan 100 magnet dari usus remaja

Pakar bedah keluarkan 100 magnet dari usus remaja

IMEJ sinar-X menunjukkan ketulan magnet berkuasa tinggi yang terkumpul dalam usus seorang remaja di Tauranga, New Zealand.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di New Zealand dimasukkan ke hospital selepas menelan lebih 100 magnet berkuasa tinggi, menyebabkan sebahagian daripada ususnya terpaksa dibuang.

Menurut laporan kes yang diterbitkan dalam New Zealand Medical Journal, remaja itu yang tidak didedahkan identitinya, dipercayai menelan antara 80 hingga 100 magnet neodymium, masing-masing berukuran lima milimeter panjang dan dua milimeter lebar.

Magnet berkenaan, yang diharamkan di New Zealand sejak Januari 2013, dibeli melalui platform beli-belah dalam talian Temu.

Selepas mengalami sakit perut selama empat hari, remaja itu dikejarkan ke Hospital Tauranga di Pulau Utara dan memberitahu doktor dia menelan magnet berkenaan kira-kira seminggu sebelumnya. 

Hasil imbasan menunjukkan magnet-magnet itu bergumpal membentuk empat rantai di bahagian bawah kanan abdomen, menarik bahagian-bahagian usus antara satu sama lain dengan daya magnetnya. 

Sebahagian imej imbasan juga terganggu akibat kehadiran magnet, kata laporan itu.

Doktor mendapati rantaian magnet itu menyebabkan kematian tisu pada empat bahagian usus kecil dan besar.

Pakar menjalankan pembedahan untuk membuang tisu yang mati dan mengeluarkan magnet sebelum remaja itu dibenarkan pulang selepas lapan hari dirawat di hospital.

Magnet berkuasa tinggi yang sering dijual sebagai mainan meja untuk orang dewasa itu sangat kecil tetapi berbahaya jika tertelan kerana daya tarikannya boleh menyebabkan bahagian saluran pencernaan melekat antara satu sama lain, mengakibatkan komplikasi serius seperti kematian tisu, usus berlubang, atau jangkitan yang mengancam nyawa.

Temu berkata, pihaknya melancarkan siasatan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan di New Zealand.

“Kes ini bukan sahaja menyerlahkan bahaya akibat tertelan magnet, tetapi juga risiko yang wujud dalam pasaran dalam talian terhadap golongan muda dan kanak-kanak,” kata penulis laporan itu, Binura Lekamalage, Lucinda Duncan-Were dan Nicola Davis.

Menurut laporan itu, pembedahan akibat tertelan magnet boleh menyebabkan komplikasi jangka panjang seperti halangan usus, hernia abdomen, serta sakit kronik.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN