LONDON: Sekurang-kurangnya 49 ahli keluarga dan rakan sekerja kepada warga Afghanistan yang terjejas akibat kebocoran data besar-besaran Kementerian Pertahanan Britain (MoD) dilaporkan terbunuh, menurut satu kajian yang dikemukakan kepada jawatankuasa pertahanan Parlimen United Kingdom (UK).
Kajian lapangan pertama melibatkan 350 individu terjejas di Afghanistan, UK dan negara lain itu mendapati daripada 231 responden yang menerima notifikasi rasmi daripada MoD mengenai kebocoran data tersebut, 49 melaporkan ahli keluarga atau rakan sekerja mereka terbunuh akibat pendedahan maklumat berkenaan.
Kajian itu turut mendapati 87 peratus daripada responden melaporkan menerima ancaman terhadap diri atau keluarga mereka, manakala 43 peratus mengatakan mereka menerima ancaman bunuh secara langsung.
Sebanyak 52 peratus pula melaporkan keluarga atau rakan mereka di Afghanistan diugut oleh Taliban.
Menurut Pengarah Eksekutif Refugee Legal Support, Olivia Clark yang menjalankan penyelidikan bersama ahli akademik dari Universiti Lancaster dan York, dapatan tersebut menunjukkan kesan kemanusiaan yang amat serius akibat kecuaian MoD.
“Kajian ini mendedahkan akibat tragik terhadap mereka yang pernah berkhidmat bersama pasukan UK. Ramai kini berdepan ancaman, serangan ganas, malah pembunuhan ahli keluarga selepas maklumat peribadi mereka didedahkan,” katanya.
Clark turut menggesa kerajaan Britain bertindak segera untuk memastikan keselamatan mangsa, mempercepatkan proses penempatan semula dan memberikan pampasan sewajarnya kepada mereka yang nyawanya terancam.
Kebocoran data yang berlaku pada Februari 2022 itu melibatkan hampir 19,000 individu yang memohon berpindah ke UK selepas pengambilalihan kuasa oleh Taliban.
Kerajaan Britain hanya menyedari kejadian tersebut pada Ogos 2023 selepas butiran peribadi mangsa tersebar di Facebook.
Satu perintah superinjunksi kemudian dikeluarkan bagi menghalang laporan media mengenai insiden tersebut sehingga ia ditarik balik pada Julai tahun ini.
Akhbar The Daily Telegraph sebelum ini melaporkan lebih 200 bekas askar dan pegawai polis Afghanistan terbunuh selepas kebocoran data itu, namun jumlah sebenar yang termasuk dalam senarai maklumat bocor masih belum dikenal pasti. -AGENSI










