Jurugambar teruja rakam 'kilat merah' di New Zealand

Jurugambar teruja rakam ‘kilat merah’ di New Zealand

FENOMENA kilat merah berjaya dirakam tiga jurugambar di tebing tanah liat Omarama di Pulau Selatan, New Zealand.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Tiga jurugambar berjaya merakam fenomena langit luar biasa dikenali sebagai kilat merah atau red sprites ketika mereka sedang mengambil gambar Galaksi Bima Sakti di kawasan tebing tanah liat Ōmārama di Pulau Selatan, New Zealand, baru-baru ini.

Jurugambar tempatan, Tom Rae, bersama dua rakannya dari Sepanyol, Dan Zafra dan José Cantabrana, pada awalnya hanya menyasarkan untuk merakam panorama Galaksi Bima Sakti pada malam 11 Oktober lalu. 

Namun, nasib menyebelahi mereka apabila langit yang dijangka mendung bertukar menjadi pentas kepada fenomena paling jarang berlaku dan sukar dilihat itu.

“Pada mulanya kami cuma berharap cuaca cerah. Tetapi malam itu berubah menjadi sesuatu yang tidak akan kami lupakan.

“Cantabrana sedang menyemak fail panoramanya dan tiba-tiba menjerit apabila dia menyedari menangkap red sprites! Kami semua menjerit dalam gelap, tidak percaya apa yang kami lihat,” kata Rae sambil ketawa mengenang pengalaman itu.

Red sprites merupakan letusan tenaga elektrik di lapisan atas atmosfera yang berlaku akibat ribut petir. 

Tidak seperti kilat biasa yang menyambar ke bumi, red sprites menjulang ke atas membentuk corak seperti tiang, lobak merah atau obor-obor merah bercahaya. 

Fenomena ini pertama kali dirakam secara tidak sengaja oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Minnesota pada tahun 1989.

Kilat merah ini berlaku dalam tempoh yang amat singkat hanya sekitar satu milisaat menjadikannya hampir mustahil dilihat dengan mata kasar namun, Rae antara yang bertuah kerana sempat menyaksikan satu pancaran secara langsung.

“Saya kebetulan sedang memandang ke arah yang tepat dan ternampak satu kilauan merah sekelip mata. Rasanya seperti melihat sesuatu yang tidak nyata, warnanya merah pekat dan begitu indah,” katanya.

Sebagai jurugambar landskap malam yang pernah memenangi pelbagai anugerah, Rae menyifatkan kejayaan merakam red sprites sebagai pengalaman yang menggabungkan kemahiran teknikal, pemahaman sains, dan sentuhan seni kreatif. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN