TOKYO: Dewan Perwakilan Jepun dijangka mengadakan undian Parlimen bagi memilih perdana menteri baharu pada 21 Oktober ini, menurut seorang ahli kanan jawatankuasa penjadualan kepada Reuters.
Parti Liberal Demokratik (LDP), yang kini diterajui pemimpin baharunya Sanae Takaichi, mencadangkan tarikh tersebut.
Namun, cadangan itu dibantah oleh parti pembangkang yang menegaskan rundingan pembentukan gabungan kerajaan masih belum selesai.
LDP dilaporkan sedang berunding dengan Parti Inovasi Jepun yang berhaluan kanan dalam usaha memperoleh majoriti undi dan memperkukuh gabungan parti pemerintah, langkah yang dilihat mampu membuka jalan kepada Takaichi untuk menjadi wanita pertama memegang jawatan Perdana Menteri Jepun.
Beberapa acara diplomatik penting menanti perdana menteri baharu Jepun menjelang akhir Oktober, termasuk sidang kemuncak antarabangsa di Malaysia dan Korea Selatan, serta lawatan yang dijangka dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Tokyo.