ROM: Itali menyatakan kesediaannya menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza, selaras dengan pelan gencatan senjata yang diketuai Amerika Syarikat, kata Menteri Luar Antonio Tajani pada Rabu.
Dalam satu taklimat kepada Dewan Deputi, Tajani menyatakan penglibatan Itali adalah sejajar dengan pengalaman luas negara itu dalam operasi ketenteraan antarabangsa yang kompleks.
“Seperti yang anda maklum, pelan Trump termasuk penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza. Seperti yang telah disahkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Itali bersedia untuk memainkan peranan, berdasarkan pengalaman kami yang kukuh dan diiktiraf dalam pelbagai konteks antarabangsa yang mencabar,” katanya, menurut agensi berita ANSA.
Beliau turut menegaskan sebarang keputusan berkaitan penyertaan Itali akan dibentangkan kepada parlimen, sambil menyatakan harapan agar semua parti politik dapat mencapai kesepakatan dalam isu ini.
Tajani menyifatkan pelan gencatan senjata tersebut sebagai berpotensi menjadi “titik perubahan bersejarah” di Asia Barat dan rantau Mediterranean, meskipun isu seperti pelucutan struktur ketenteraan Hamas masih belum diselesaikan sepenuhnya.
“Terlalu ramai mangsa tidak bersalah… dan ramai yang terselamat kini memerlukan makanan, rawatan perubatan, dan yang paling utama, keselamatan serta harapan untuk masa depan tanah air mereka,” katanya.
Tajani menegaskan komitmen kerajaan Itali yang sejak awal lagi menyokong usaha perdamaian, termasuk dengan mengekalkan dialog bersama pihak berkuasa Israel dan Palestin serta membantu meringankan penderitaan penduduk Gaza.
Beliau turut mengumumkan kerajaan Itali akan mengadakan mesyuarat khas pada Rabu untuk membincangkan agenda pemulihan Gaza.