WASHINGTON: Harga minyak meningkat dalam dagangan awal Isnin selepas pegawai ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China merangka satu kerangka perjanjian perdagangan dalam lawatan di Kuala Lumpur.
Ia sekali gus meredakan kebimbangan tarif dan sekatan eksport antara dua pengguna minyak terbesar dunia itu yang dikhuatiri boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi global.
Lapor Reuters, niaga hadapan minyak mentah Brent naik 46 sen, atau 0.7 peratus, kepada AS$66.40 (RM280.04) setong pagi ini.
Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) pula meningkat 46 sen, atau 0.75 peratus, kepada AS$61.96 (RM261.31), selepas masing-masing melonjak 8.9 peratus dan 7.7 peratus minggu lalu berikutan sekatan AS dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap Russia.
Menurut Haitong Securities dalam satu nota, jangkaan pasaran bertambah baik selepas sekatan baharu terhadap Russia dan pengurangan ketegangan antara AS dan China berjaya menangkis kebimbangan terhadap lebihan bekalan minyak mentah yang sebelum ini menekan harga pada awal Oktober.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent pada Ahad berkata, pegawai ekonomi tertinggi China dan AS mencapai satu rangka kerja yang amat besar dalam perjanjian perdagangan di Kuala Lumpur sebelum Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping membincangkan kerjasama perdagangan lewat minggu ini di Korea Selatan.
Trump turut menyatakan keyakinan terhadap kemungkinan mencapai perjanjian dengan Beijing dan menjangka akan mengadakan pertemuan di China serta di AS.
“Saya fikir kita akan mencapai perjanjian dengan China. Kita akan berjumpa mereka di China nanti dan juga di AS, sama ada di Washington atau di Mar-a-Lago,” katanya.
Penganalisis Pasaran IG, Tony Sycamore berkata, rangka kerja perdagangan yang positif itu membantu mengimbangi kebimbangan Russia mungkin menangkis kesan sekatan baharu AS yang menyasarkan Rosneft dan Lukoil dengan menawarkan diskaun lebih besar serta menggunakan ‘armada bayangan’ untuk menarik pembeli.
Namun, Penganalisis di Haitong Securities, Yang An memberi amaran jika sekatan tenaga Russia kurang berkesan daripada yang dijangka, tekanan lebihan bekalan boleh kembali semula ke pasaran.










