ISTANBUL: Pemimpin Hamas, Khalil al-Hayya menegaskan komitmen gerakan itu untuk menyerahkan baki mayat rakyat Israel yang menjadi tebusan di bawah perjanjian gencatan senjata, sambil berusaha mengelak daripada memberi alasan kepada regim Zionis untuk menyambung semula perang di Semenanjung Gaza.
“Kami tidak akan memberi peluang kepada Israel untuk mencari alasan menyambung perang dan kami telah menyerahkan 20 tahanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas gencatan senjata berkuat kuasa,” kata Hayya dalam wawancara bersama Al Jazeera lewat Sabtu.
Fasa pertama gencatan senjata di Gaza bermula pada 10 Oktober lalu di bawah pelan 20 perkara yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Fasa awal ini melibatkan pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin. Pelan itu turut merangkumi usaha membangunkan semula Gaza dan pembentukan mekanisme pentadbiran baharu tanpa Hamas.
Sejak 13 Oktober, Hamas sudah membebaskan 20 tebusan Israel yang masih hidup dan menyerahkan 16 mayat lagi, meninggalkan 12 lagi, kebanyakannya rakyat Israel yang masih dalam senarai.
Hayya memaklumkan lebih banyak kawasan di Gaza akan digeledah pada Ahad bagi mencari baki mayat tebusan Israel.
Mengenai isu tahanan Palestin di penjara Israel, Hayya berkata, usaha berterusan dilakukan bagi mengakhiri penderitaan mereka meskipun Israel enggan mendedahkan nama dan identiti ramai tahanan.
“Saya beritahu Wakil Khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner semasa pertemuan yang kami menyokong kestabilan, dan Trump berkemampuan mengekang pendudukan Israel. Kami juga tidak berpuas hati dengan jumlah bantuan yang masuk ke Gaza,” tegasnya.
“Gaza memerlukan 6,000 trak bantuan sehari, bukan sekadar 600. Penduduk haram Israel sedang menyekat kemasukan beberapa barangan ke Gaza seolah-olah perang masih berterusan,” ujar beliau sambil menggesa pihak perantara campur tangan untuk memastikan bantuan kemanusiaan yang mencukupi dapat memasuki wilayah itu.
Mengenai urusan pentadbiran di bawah perjanjian tersebut, Hayya menegaskan Hamas tidak mempunyai halangan terhadap mana-mana tokoh nasional yang tinggal di Gaza untuk menguruskan pentadbiran wilayah itu.
“Kami mahu bergerak ke arah pilihan raya sebagai langkah awal ke arah memulihkan perpaduan nasional,” katanya.
Hayya turut memaklumkan, Hamas dan beberapa lagi kumpulan Palestin bersetuju supaya usaha membangunkan semula Gaza dikendalikan oleh sebuah badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Beliau mengulangi komitmen Hamas terhadap cadangan penempatan pasukan pengaman dan pemantau PBB bagi mengawal sempadan serta memastikan pelaksanaan gencatan senjata di Gaza.
Mengenai isu melucutkan senjata Hamas, Hayya menegaskan ia bergantung kepada kewujudan dan tindakan pencerobohan Israel di Gaza.
“Jika pendudukan berakhir, senjata ini akan diserahkan kepada negara,” katanya.










