WASHINGTON: Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah pertubuhan bukan keuntungan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang ditugaskan menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, menyatakan kesediaan untuk menyambung semula penghantaran bantuan selepas pelaksanaan gencatan senjata di wilayah itu.
Jurucakap GHF, Chapin Fay berkata, organisasi itu menghentikan operasi sementara sepanjang fasa pertama gencatan senjata bagi memberi laluan kepada pembebasan baki tebusan Israel oleh Hamas.
“Walaupun keadaan di lapangan masih belum stabil, GHF telah diarahkan supaya bersedia untuk kembali beroperasi dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kesiapsiagaan kami,” katanya semalam.
GHF diberi tanggungjawab oleh Washington dan Tel Aviv untuk menyalurkan makanan kepada penduduk Gaza yang kebuluran sejak Mei lalu selepas Israel mengenakan sekatan ketat terhadap agensi bantuan antarabangsa.
Namun, langkah itu menerima kritikan hebat daripada pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan bantuan lain, selepas ratusan rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat tembakan tentera Israel ketika cuba mendapatkan bantuan di pusat agihan GHF.
Pada Ogos lalu, panel pakar yang dilantik PBB mendakwa bantuan yang disalurkan melalui GHF disalahgunakan bagi tujuan ketenteraan dan geopolitik tersembunyi.
Ketika itu, GHF hanya mengendalikan empat pusat agihan di seluruh Gaza, jauh lebih kecil berbanding 400 pusat yang diuruskan oleh sistem PBB sebelum ini.
Selepas Hamas membebaskan baki tebusan Israel yang masih hidup pada 13 Oktober lalu, GHF memaklumkan satu pusat agihannya, dikenali sebagai ‘SDS4’ di Khan Younis sudah ditutup.
Dua minggu lalu, Hamas dan Israel menandatangani pelan gencatan senjata serta pertukaran tahanan yang dipersetujui dengan sokongan AS.
Langkah itu menandakan fasa pertama dalam usaha antarabangsa untuk menamatkan peperangan di Gaza serta membuka jalan kepada proses pembinaan semula wilayah yang musnah akibat serangan berpanjangan. -AFP










