MANILA: Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud menggegarkan selatan Filipina hari ini, seminggu selepas dua gempa kuat melanda negara itu, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan, kata penyelamat wilayah, Ralph Cadalena kepada AFP.
“Kami merasai gegaran kuat secara tiba-tiba, tetapi ia hanya berlaku untuk tempoh yang sangat singkat,” katanya.
USGS melaporkan, gegaran berlaku berhampiran perbandaran Dapa di wilayah Surigao del Norte pada kedalaman sekitar 69 kilometer (km).
Ia berlaku seminggu selepas dua gempa bumi berukuran 7.4 dan 6.7 magnitud menggegarkan bahagian timur pulau Utama Mindanao, yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan nyawa.
Beberapa hari sebelum itu, gempa bumi berukuran 6.9 magnitud turut mengorbankan 76 orang dan memusnahkan atau merosakkan 72,000 rumah di wilayah Cebu, tengah Filipina, menurut angka kerajaan.
Gempa bumi merupakan kejadian hampir setiap hari di Filipina, yang terletak di atas Lingkaran Api Pasifik, Kawasan berbentuk arka yang mengalami aktiviti seismik kuat, merentasi Jepun, Asia Tenggara dan lembangan Pasifik.
Gempa bumi berukuran 8.0 magnitud yang melanda luar pantai barat daya pulau Mindanao pada 1976 mencetuskan tsunami, mengorbankan atau menyebabkan kehilangan 8,000 orang, menjadikannya bencana alam paling dahsyat dalam sejarah Filipina.- AFP