DUBLIN: Ahli politik bebas berhaluan kiri dan pengkritik lantang terhadap Israel, Catherine Connolly dilantik sebagai Presiden ke-10 Republik Ireland selepas mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya, menewaskan pencabar dari parti berhaluan kanan, Heather Humphreys.
Keputusan rasmi diumumkan di Dublin Castle selepas kiraan awal menunjukkan kelebihan besar kepada Connolly.
Sebagai calon bebas yang disokong oleh parti-parti kiri utama, Connolly dalam ucapan kemenangannya berikrar untuk menjadi Presiden yang inklusif untuk semua.
Ahli Parlimen berusia 68 tahun dari Galway itu akan menggantikan Michael D. Higgins, yang menamatkan dua penggal maksimum sebagai Presiden.
Connolly memperoleh 914,143 undi pilihan pertama yang mencecah 63 peratus, jumlah tertinggi dalam sejarah pilihan raya Presiden Ireland.
“Saya akan menjadi Presiden yang mendengar dan mencerminkan dan yang bersuara apabila perlu. Saya akan menjadi suara untuk keamanan, suara yang membina dasar berkecuali kita, suara yang menekankan ancaman wujud daripada perubahan iklim serta suara yang mengiktiraf usaha besar rakyat di seluruh negara,” katanya.
Dalam minggu-minggu akhir kempen, Connolly menegaskan, kempennya adalah satu gerakan dan kini beliau memperoleh mandat jelas daripada rakyat.
Dalam kenyataannya sebelum ini, beliau turut lantang mengkritik Israel kerana melancarkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, satu dakwaan yang ditolak keras oleh Israel.
Connolly juga pernah menuduh Israel bertindak seperti negara pengganas.-AGENSI










