Asia Barat terus bergolak angkara Zionis

Asia Barat terus bergolak angkara Zionis

ORANG ramai meninjau kerosakan di sebuah kompleks pengeluaran simen sehari selepas siri serangan udara Israel di kampung Ansar, selatan Lubnan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Pencerobohan Israel di seluruh Asia Barat masih berterusan meskipun perjanjian gencatan senjata terbaharu di Gaza sudah dimeterai.

Perjanjian yang ditandatangani pada 10 Oktober itu hanya mengurangkan sedikit tekanan terhadap penduduk Palestin di Gaza ketika serangan Israel masih diteruskan. 

Di wilayah lain pula, Israel giat melancarkan serangan di pelbagai medan termasuk Lubnan, Syria dan Tebing Barat, menunjukkan usaha berterusan untuk melemahkan serta menggugat kestabilan negara-negara jirannya.

Pegawai Amerika Syarikat (AS) melawat Israel minggu ini, namun sekutu utama Tel Aviv itu tidak menunjukkan tanda-tanda ingin menegakkan tanggungjawab terhadap tindakan ketenteraan Israel di rantau ini, sebaliknya hanya menumpukan perhatian kepada Gaza.

Tebing Barat 

Israel meningkatkan tekanan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Sejak 7 Oktober 2023, lebih daripada 1,000 rakyat Palestin terbunuh di wilayah itu akibat operasi tentera Israel yang turut memperhebatkan usaha untuk mengukuhkan cengkaman ke atas wilayah tersebut

Untuk minggu kedua berturut-turut, tentera rejim dan peneroka Israel mengganggu serta menahan petani Palestin yang sedang menuai buah zaitun.

Antara yang ditahan termasuk seorang bekas tahanan yang sebelum ini dibebaskan dalam pertukaran banduan semasa gencatan senjata singkat pada Januari lalu, menurut agensi berita Wafa.

Ucapan pemimpin Israel turut memburukkan ketegangan antaranya Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich yang berterusan menggesa penyokongnya supaya menekan Presiden AS, Donald Trump agar menyokong aneksasi Tebing Barat. 

Beliau turut menyeru supaya Israel mengisytiharkan ‘kedaulatan’ ke atas wilayah itu bagi menamatkan idea penubuhan negara Palestin.

Syria

Aktiviti ketenteraan Israel di Syria semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu, dengan media tempatan melaporkan insiden pencerobohan hampir setiap hari di kawasan sempadan selatan.

Disember lalu, selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, Israel menyerang infrastruktur ketenteraan Syria di beberapa lokasi.

Sehingga kini, pencerobohan Israel masih berterusan, meskipun kerajaan baharu Syria tidak membalas tindakan itu.

Menurut laporan media rasmi Syria, serangan tersebut merangkumi penerbangan pengintipan, pencerobohan darat, penahanan dan kehilangan warga Syria serta pembinaan sekatan jalan raya di wilayah Syria.

Pada Ahad lalu, media rasmi SANA melaporkan serangan terbaharu Israel berlaku pada pagi Ahad di kampung al-Razaniyah dan Sayda al-Hanout, yang terletak di kawasan luar bandar Quneitra 

“Sebahagian unit pasukan Israel yang terdiri daripada empat kenderaan tentera menubuhkan sekatan jalan antara dua kampung tersebut.

“Semasa operasi dijalankan, pasukan itu menahan seorang pengedar roti tempatan yang sedang menghantar bekalan ke kampung-kampung sekitar Sayda, sebelum melepaskannya dan berundur dari kawasan itu,” kata seorang wartawan.

Pada sesi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 24 Oktober lalu, Wakil Syria ke PBB, Ibrahim Olabi menegaskan Israel mesti menghentikan pencerobohan dan campur tangan dalam urusan dalaman negaranya. 

Beliau turut mengecam pendudukan berterusan Israel di Bukit Golan, sambil menegaskan tindakan itu melanggar Perjanjian Pemisahan 1974 antara kedua-dua negara.

Lubnan

Di Lubnan, Israel terus melanggar gencatan senjata dengan Hezbollah.

Bahagian selatan negara itu berdepan serangan bom bertubi-tubi oleh tentera Israel sejak beberapa hari lalu.

Pada Isnin, pasukan pengaman PBB (UNIFIL) menembak jatuh sebuah dron Israel selepas ia dikatakan menjatuhkan bom tangan berhampiran rondaan mereka. 

UNIFIL melaporkan sebuah kereta kebal Israel kemudian melepaskan tembakan ke arah mereka, walaupun tiada kecederaan dilaporkan.

Sehari sebelumnya, dua orang terbunuh dalam serangan Israel,  seorang di Nabi Chit, Baalbek, dan seorang lagi di Naqoura, selatan Lubnan.

Walaupun perang Israel-Lubnan tamat pada 27 November 2024 melalui perjanjian gencatan senjata, tentera Israel tidak berundur sepenuhnya dan terus mengebom jirannya itu hampir setiap hari.

Serangan terkini memusnahkan peralatan pembinaan semula dan membunuh orang awam, namun media Israel mendakwa tindakan itu bagi menghalang Hezbollah daripada membina semula di selatan.

Israel dan AS menuntut agar kerajaan Lubnan melucutkan senjata Hezbollah sepenuhnya, walaupun perkara itu tidak termasuk dalam syarat gencatan senjata.

Kerajaan Lubnan menyatakan kesediaan untuk melucutkan senjata kumpulan itu tetapi menuntut AS bertindak terhadap pelanggaran Israel, termasuk pendudukan berterusan di lima kawasan Lubnan.

Namun laporan media Lubnan mendakwa Utusan Khas AS, Tom Barrack gagal meyakinkan Israel supaya berundur atau menghentikan serangan, menyebabkan rakyat Lubnan bimbang keganasan tahun lalu kembali berulang, yang menyaksikan lebih 4,000 orang terbunuh dan lebih sejuta dipaksa meninggalkan rumah mereka.

Media Israel turut melaporkan tentera rejim baru-baru ini menjalankan latihan ketenteraan kononnya mensimulasikan serangan oleh Hezbollah, walaupun pakar dan diplomat memberitahu Al Jazeera, kumpulan tersebut pada masa ini tidak mempunyai keupayaan untuk melancarkan serangan sedemikian.

Gaza

Dalam lawatan ke Israel minggu lalu, Naib Presiden AS, JD Vance mendakwa gencatan senjata yang dipersetujui pada 10 Oktober lalu berjalan lebih baik daripada dijangka.

Namun, Israel masih meneruskan serangan udara di Gaza, menimbulkan persoalan tentang maksud sebenar kenyataan itu.

Selain meneruskan serangan, Israel juga menjejaskan perjanjian gencatan senjata dengan menceroboh lebih jauh ke dalam wilayah Gaza, melepasi garisan kuning tidak rasmi yang sepatutnya menjadi sempadan pengunduran tenteranya, menurut laporan BBC.

Walaupun kekerapan serangan berkurangan, penderitaan rakyat Palestin masih berterusan akibat sekatan bantuan kemanusiaan yang meningkatkan korban jiwa.

Sabtu lalu, seorang terbunuh dan empat cedera dalam serangan dron di kem pelarian Nuseirat, menurut Hospital al-Awda. Sejak gencatan senjata bermula, hampir 100 rakyat Palestin terkorban.

Israel juga menghalang pesakit daripada keluar melalui sempadan Rafah, termasuk pesakit kanser tahap tiga, Rasha Abu Sbeaka yang masih menunggu kebenaran untuk mendapatkan rawatan di luar Gaza selepas hospital-hospital di wilayah itu musnah akibat serangan Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN