KOTA BELUD: Seramai enam calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 selepas proses penamaan calon, semalam.
Pertandingan itu membabitkan penyandang, Datuk Seri Mohd. Salleh Said Keruak mewakili Barisan Nasional (BN), yang sekali lagi mempertahankan kerusi tradisi UMNO itu.
Beliau dicabar Datuk Japlin Akim mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan yang kembali ke gelanggang politik serta Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis.
Turut berentap ialah Lin harun (STAR), Jeffrey Madis mewakili Parti Impian Sabah (PIS) dan Ajun Meliun (Bebas).
Suasana di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak di sini berlangsung terkawal dengan kehadiran ratusan penyokong parti masing-masing, walaupun pertembungan kali ini dijangka lebih sengit berbanding PRN lalu yang hanya tiga penjuru.
DUN Usukan antara kubu penting di Parlimen Kota Belud, menjadi perhatian kerana pertembungan dua tokoh lama iaitu Mohd. Salleh dan Japlin yang masing-masing pernah bergelar ADUN Usukan.
Kali ini, ia disaingi hebat Warisan yang menampilkan Ahli Parlimen Kota Belud sendiri, seterusnya dilihat mampu membawa suara masyarakat setempat ke Dewan Rakyat.
Pada PRN lalu, Mohd. Salleh yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah dan menteri Persekutuan menang dengan majoriti selesa 4,298 undi, selepas meraih 8,280 undi menewaskan Warisan (3,982) dan Parti Cinta Sabah (421).
Mohd. Salleh berkhidmat di Usukan sejak 1994 dan mewakili Parlimen Kota Belud dari 1995.
Dalam pada itu, bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman pula berdepan saingan sembilan penjuru bagi kerusi DUN Bongawan.
Anifah yang bertanding atas tiket GRS dicabar Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin selaku calon BN.
Turut mempertahankan kerusi itu ialah penyandang, Dr. Daud Yusof (Warisan) yang menewaskan Anifah dalam PRN Sabah Ke-16 dengan majoriti 1,802 undi.
Bongawan yang mempunyai 24,019 pemilih turut menyaksikan penyertaan Dolores Michael mewakili STAR. – UTUSAN










