Derhaka kepada ibu bapa tempah kehinaan

Derhaka kepada ibu bapa tempah kehinaan

ABD RAOF OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kehidupan moden yang serba mencabar ini, kita sering dikejutkan dengan berita menyayat hati iaitu anak-anak yang tergamak membuang, mengabaikan, bahkan mendera ibu bapa sendiri.

Perkara ini bukan sahaja merobek nilai kemanusiaan, malah menggoncang keimanan seorang muslim.

Sedangkan dalam Islam, agamawan Kedah, Tok Guru Abd Raof Othman menjelaskan bahawa ketaatan kepada ibu bapa bukan pilihan tetapi ia adalah kewajipan seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ ayat 23, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

Agamawan berusia 60 tahun ini berkata, ayat itu menunjukkan betapa tinggi martabat ibu bapa dan ketaatan kepada mereka adalah lambang ketaatan kepada Allah.

“Jangan katakan derhaka berdengus, memandang muka ibu bapa dengan tidak acuh juga jatuh berdosa. Tetapi itulah yang terjadi kebelakangan ini. Ada yang sanggup derhaka walaupun tahu kunci keberkatan hidup dan doa kesejahteraan hidup adalah melalui ibu bapa,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengajian Addin Miftahul Faizin, Padang Durian Pendang baru-baru ini.

Tambahnya, Islam sentiasa menekankan kedudukan ibu bapa selepas Allah SWT dan Rasulullah SAW malah sesiapa yang derhaka hanya menempah kehinaan di dunia dan akhirat.

Taat kepada ibu bapa bukan sekadar kewajipan moral, tetapi merupakan perintah syariat yang disebut berulang kali dalam al-Quran. Firman Allah, Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya (Surah Al-Ankabut: 8),” jelasnya.

Perkara ini membimbangkan, luah beliau, termasuk wujudnya generasi yang berani membantah ibu bapa mereka termasuk yang meninggikan suara, ada yang mengabaikan arahan, bahkan ada yang menghina daripada usia baru mengenal angka.

“Sedangkan sekadar berkata ‘ah’ atau mencebik muka sudah ditegah seperti dalam Surah al-Isra’: 23,” kata anak kepada ulama tersohor Kedah, Allahyarham Tok Guru Othman Lebai Teh ini.

Apatah lagi derhaka yang membawa kesan yang berat, ulasnya, seperti sabda Rasulullah SAW menyebut bahawa antara dosa besar yang mempercepatkan balasan di dunia ialah derhaka kepada ibu bapa.

Tok Guru Abd. Raof Othman

Pendidikan: Madrasah al Hidayah al Hukmiah, Jitra, Kubang Pasu, Kedah

Pondok Pattani, Thailand

Pengasas: Pusat Pengajian Addin Miftahul Faizin, Padang Durian Pendang
Pendakwah bebas

“Hidup anak derhaka sering dilanda kesempitan dan di akhirat menanggung azab yang pedih. Lebih buruk mereka akan mewariskan perbuatan itu kepada anak-anak mereka nanti.

“Kalau buruk layanan mereka kepada ibu bapa maka buruk juga layanan anak-anak mereka kepada mereka nanti. Hal ini selaras dengan sabda Nabi SAW: “Berbuat baiklah kepada ibu bapamu, nescaya anak-anakmu akan berbuat baik kepadamu (Riwayat al-Tabrani),” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, ketaatan dan kepatuhan kepada ibu bapa memberi ganjaran yang cukup besar dalam kehidupan manusia seperti “Memandang wajah ibu dengan kasih sayang akan diberi pahala seperti haji mabrur.”

“Hadis ini yang sering ditekankan para ulama walaupun hadis daif. Sejarah umat Islam menunjukkan tradisi mencium tangan dan kaki ibu bapa sebagai tanda hormat dan tawaduk. Walaupun amalan ini kecil, namun ia melambangkan kesedaran bahawa darjat ibu bapa berada pada kedudukan yang tinggi. Bersyukurlah kepada siapa yang melakukan perkara ini.

“Doa ibu bapa juga mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki doa orang lain. Rasulullah SAW bersabda: Tiga doa yang mustajab tanpa keraguan: doa orang dizalimi, doa musafir, dan doa kedua orang tua terhadap anaknya. (Riwayat al-Tirmizi),” katanya.

Tambahnya, di sebalik itu yang mengecewakan ada yang terlalai dan banyak hanya menyedari nilai ibu bapa setelah ketiadaan mereka.

“Rasa sesal datang terlambat, dan peluang berbakti sudah tertutup. Keadaan ini menggambarkan betapa pentingnya menghargai ibu bapa selagi mereka masih hidup.

“Meskipun demikian, Islam membuka pintu taubat. Seseorang yang pernah lalai terhadap ibu bapanya boleh kembali dengan taubat nasuha, disertai usaha berbuat baik kepada kaum kerabat, sahabat ibu bapa, atau dengan memperbanyak doa untuk mereka.

“Taubat tidak boleh ditangguh. Ulama menyebut, salah satu tanda keikhlasan taubat adalah segera menyesali dosa, berhenti daripadanya, dan berazam tidak mengulanginya. Dalam konteks ini, seorang anak mesti kembali memperbaiki hubungan dengan Allah dan ibu bapanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×