Apabila ‘hangin’ naik satu badan

Apabila ‘hangin’ naik satu badan

penUNjuk perasaan meluahkan rasa tidak puas hati di jalan raya bagi memberitahu masalah yang mereka tanggung. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berjoget itu satu luahan perasaan. Seronok barangkali, gembira mungkin walaupun tidak semua menyukainya . Menari atau berjoget satu cara meluahkan perasaan gembira.

Tapi awas , kena tengok tempat dan masa dan siapa anda, maknanya bukan sebarangan boleh bergoyang .

Tidak boleh berjoget tempat suci, tempat orang ramai atau tempat dihormati.

Barangkali itu berlaku di Indonesia baru-baru ini. Ada protes , tunjuk perasaan, luah rasa tidak puas hati segolongan pihak tertentu kerana ada orang tertentu berjoget. Dikatakan begitu meski pun ada punca lain sebagai trigger factor. Semua orang tahu cerita itu yang bertebaran di media sosial.

Sudahnya, bangunan dibakar, berkumpul dan membuat onar. Mereka iaitu golongan penunjuk perasaan ini membuat banyak kerosakan lagi kerana tidak berpuas hati. Mujur tidak ada implikasi lebih besar, tetapi itu angkara apabila ramai sudah naik angin satu badan.

Manusia biasanya hilang pertimbangan, hilang akal budi atau tidak rasional dan cetek risiko apabila marah akan sesuatu tidak puas hati dan mahu menunjukkan protes.

Di Indonesia implikasinya besar hasil daripada ‘amukan’ golongan tersebut. Mungkin kerana berpenduduk ramai lebih 200 juta. Namun hal yang sama berlaku di Nepal yang berpenduduk 30 juta yang dikatakan digerakkan orang muda atau Gen Z. Mereka membakar bangunan Parlimen , merempuh masuk ke kediaman pemimpin politik mengakibatkan kematian. Akhirnya kerajaan Nepal bergegar dan pucuk pimpinan terpaksa meletak jawatan.

Apabila kes seperti ini berlaku ramai akan menyalahkan penunjuk perasaan dan menuduh mereka mencetuskan masalah merosakkan harta awam dan menyusahkan orang ramai.

Mereka akan berkata, menunjuk perasaan, berdemonstrasi di jalan raya bukan cara menyelesaikan masalah. Perlu kembali ke meja rundingan.

Setahu saya, penunjuk perasaan bukan hendak menyelesaikan masalah dengan cara itu. Saya tidak percaya ada penyelesaian masalah akan berlaku dengan berarak di jalan raya atau dengan membakar bangunan .

Setahu saya, siapa pun yang berbuat demikian, kadangkala duduk di meja rundingan tidak lagi membantu mereka kerana dengan menunjuk perasaan hanyalah satu pemberitahuan. Saya ulang…hanya satu pemberitahuan. Sebenarnya mereka memberitahu ada masalah yang mereka mahu orang lain tahu.

Cubalah kita periksa punca berlakunya tunjuk perasaan? Ada perkara yang tidak dipersetujui atau disepakati, baharulah menunjuk perasaan berlaku sebagai jalan keluar pemberitahuan tadi.

Kenaikan ganjaran kepada orang politik di Indonesia dikatakan pencetus utama rakyat menunjuk perasaan. Lebih daripada itu, mereka yang menerima ganjaran itu dikatakan menari di Dewan

Permesyuaratan Rakyat (DPR) atau semacam Parlimen di negara kita.

Siapa yang tidak ‘naik hangin’, ketika rakyat dikatakan menderita dengan kesempitan hidup, ada golongan tertentu mendapat ganjaran.

Nara

tif yang sama berlaku di Nepal, negara di Banjaran Himalaya itu. Golongan Gen Z ‘naik hangin’ apabila media sosial disekat, ironinya anak golongan aristokrat dikatakan mempamerkan gaya hidup mewah tatkala golongan belia ramai menganggur. Manusia mana yang tidak ‘naik hangin’ satu badan. Semacam satu teori domino pula apabila Perancis menghadapi masalah sama.

Kelihatannya sumbu minyak tanah sudah mula menyala yang dikatakan mendapat inspirasi daripada kedua-dua negara berkenaan.

Penganalisis jenayah Kamal AffendI Hashim menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu trend atau kecenderungan. Beliau menyifatkan perlakuan tersebut sebagai fashionable oleh kelompok umur tertentu.

Kata Kamal Afendi menunjuk perasaan jalanan sebagai medium efektif bertujuan menyatakan sokongan atau bantahan.

Namun, beliau tidak menafikan, ada golongan tersebut yang terpengaruh dan diperguna oleh pihak atau kumpulan tertentu.

Malah ada yang didakwa menerima upah tertentu sebagai imbalan menggerakkan demonstrasi. Lebih malang segelintir penunjuk perasaan menjadi boneka puak tertentu yang mempunyai kepentingan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan cetusan tersebut berpunca daripada kegagalan sistemik – komunikasi yang tergendala dengan pembuat dasar atau polisi dan sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan politikus iaitu prinsip rakyat didahulukan telah mansuh dan tidak menjadi teras perjuangan.

“Perhimpunan lazim seperti menghadiri acara keagamaan, sukan atau pengebumian tidak pun menjadi masalah atau menyalahi undang, “ Cuma batas undang-undang mula terpakai kepada keadaan di luar kelaziman seperti yang melibatkan perarakan, bersifat agresif, bertentangan dengan arahan bersurai atau perintah pihak berkuasa, “ ujarnya.

Setakat ini, perhimpunan di negara kita dikawal di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) iaitu undang-undang yang digubal untuk mengawal selia hak orang ramai berhimpun secara aman, selaras dengan Perkara 10(1)(b)

Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berhimpun.

Akta tersebut sebagai kerangka undang-undang untuk rakyat menganjurkan perhimpunan aman, mengimbangi hak berhimpun dengan kepentingan keselamatan awam dan ketenteraman bagi menggantikan Akta Polis 1967 (Seksyen 27) yang dahulu memberi kuasa mutlak kepada polis tetapi dengan syarat tertentu iaitu antaranya berhimpun di tempat awam dan tidak melibatkan mogok, mesyuarat perusahaan, perhimpunan parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), atau perhimpunan keagamaan.

Kita memang perlu akta mengawal aktiviti perhimpunan supaya tidak melarat hingga menyusahkan orang ramai atau menakutkan pelabur dan berpotensi menyebabkan kekacauan dan kecederaan. Kata orang, ‘minta simpang’ dijauhkan daripada apa yang berlaku di Nepal baru-baru ini.

Laporan daripada Nepal menyebut banyak kekacauan berlaku akibat mereka yang ‘naik hangin’ ini. Antara mangsanya Rajyalaxmi Chitrakar, isteri bekas perdana menteri Nepal, Jhalanath Khanal yang maut secara tragis apabila penunjuk perasaan diketuai aktivis Generasi Z memerangkapnya dalam rumah mereka di kawasan Dallu, Kathmandu sebelum membakarnya.

Kita mungkin tidak sampai ke tahap itu. Namun saya masih cuak dengan tingkah laku segelintir individu terutama kalangan parti politik yang kadangkala gagal mengawal angin dalam badan.

Jika tidak mengawal emosi mereka mengherdik, mengata dan mencerca. Perbuatan tersebut semacam melondehkan tahap pemikiran dan kematangan masing-masing, apabila tidak bersetuju atau tidak sependapat dengan mereka.

Kita boleh sahaja tidak bersetuju akan sesuatu perkara. Selagi tidak ada titik pertemuan antara keperluan dan kehendak, kita mudah angkat sepanduk.Yang pasti fikirkan risikonya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×