Hari ini seorang pemuda Indonesia yang dahulunya tidak begitu dikenali melainkan personaliti ini dikenali anak seorang pemimpin iaitu Gibran atau yang lahir atas nama penuh Gibran Rakabuming Raka.
Beliau melakar sejarah baharu dalam politik Indonesia apabila mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden Negara republik itu hari ini.
Gibran yang lahir pada 1 Oktober 1987 merupakan anak sulung Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang secara rasminya menamatkan tugas atau meninggalkan jabatannya (versi Indonesia) selepas dua penggal memimpin Indonesia.
Negara rantau ASEAN pastinya ternanti-nanti apakah pembawaan Gibran nanti sebagai orang nombor dua Indonesia di samping Presiden Prabowo Subianto.
Negara terbesar Asia Tenggara itu pastinya menjadi tumpuan jirannya, apatah lagi Gibran muncul sebagai anak muda memimpin sebuah negara besar, sebagai pemimpin nombor 2.
Beliau pada mulanya bukanlah calon popular yang diuar-uarkan oleh media Indonesia antara gandingan dalam merebut jawatan kepresidenan dalam Pemilu 2024. Ketika itu, kira kira dua atau tiga tahun lepas ketika dunia sedang berdepan pandemik Covid-19 beberapa tinjauan menunjukkan Gibran bukanlah calon yang disebut-sebut akan bertanding.
Malah pada tahun ini, tinjauan MetroTvnews.com menunjukkan Gibran bukanlah calon popular berbanding sebilangan nama lain termasuklah antaranya Sindago Uno dan beberapa nama yang berada dalam Kabinet Kerja pimpinan Joko Widodo seperti Eric Thohir serta Mahmud MD dalam senarai calon wakil presiden.
Daripada 17 nama barisan calon Ridwan Kamil antara yang tertinggi iaitu 19.5 peratus selain anak bekas presiden Susilo iaitu Agus Harimurti Yudhoyono yang juga ketua umum Parti Demokrat sekarang.
Gibran hanya popular sekitar 4.9 peratus. Pada 2020, Gibran mengejutkan masyarakat Indonesia selepas membuat keputusan terjun ke dunia politik meskipun sudah berjaya dalam dunia keusahawanan.
Gibran kemudian memulakan perniagaan murtabak berjenama Markobar lima tahun selepas itu dan berkembang mempunyai 29 lokasi cawangan di Indonesia.
Pada Julai 2019, Gibran dinamakan sebagai calon pilihan untuk pilihan raya Datuk Bandar Surakarta 2020, jawatan ayahnya sebelum menjadi Gabenor Jakarta dan kemudian Presiden Indonesia
Gibran mendaftar sebagai ahli parti politik Parti Demokratik Indonesia- Perjungan (PDI-P), parti politik yang sama dengan bapanya untuk bertanding dalam pilihan raya Datuk Bandar.
Parti tersebut secara rasmi menyokong Gibran sebagai calon Datuk Bandar mereka pada Julai 2020.
Menerusi satu program bual bicara di Indonesia Di Mata Najwa, pengacara jelita Najwa Shihab cuba memancing sama ada beliau berminat untuk terjun dalam politik , Gibran membayangkan tidak berminat.
Menerusi satu program bual bicara lain beliau turut ditanya berkemungkinan terjun ke dunia poliitk yang merupakan satu keputusan yang tidak dijangka, beliau menjawab- “Jadi seperti sekarang (peniaga) pun saya tidak (pernah) bayangkan.”
Begitulah Gibran menjawab atau menafikan sesuatu yang menjadi bahan bualan media sosial di Indonesia.
Malah dalam satu sesi pengenalan keluarga Presiden Jokowi satu ketika, beliau menjawab pertanyaan di media sosial yang mempersoalkan kenapa dirinya jarang mengikut ayahnya ke program blusukan atau turun padang melawat kawasan, Gibran menjawab dalam slang Jawa – “Saya pun punya kerja sendiri”.
Gaya percakapan bersahaja tetapi tegas ini mungkin tidak disukai media, tetapi itu cara beliau.
Kontroversi kecil dan besar sering menjadi cabaran terutama selepas namanya menjadi gandingan Prabowo dalam Pilihan raya Presiden (Pilpres) 2024.
Prabowo mengumumkan gandingan tersebut dan mendaftar pencalonan mereka dengan Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada 25 Oktober 2023. Pengumuman Prabowo tersebut mungkin mengambil kira profil pengundi di Indonesia.
Kategori pengundi daripada 204 juta yang layak mengundi kebanyakannya atau lebih 50 peratus merupakan golongan muda atau mereka yang berumur dalam julat antara 17 hingga 35 tahun perlu diberi perhatian kerana Gen Z ini merupakan kelompok pemilih terbesar di negara berkenaan.
Mereka lah aktif di media sosial dan mudah tertarik terhadap isu-isu berkaitan dengan ekonomi, teknologi, hal ehwal kehidupan dan ketelusan kerajaan.
Gandingan Prabowo Subianto-Gibran merupakan calon daripada gabungan Indonesia Maju, yang meliputi Partai Gerindra pimpinan Prabowo, parti Golkar, parti Demokrat, dan Parti Amanat Nasional (PAN), serta beberapa partai lainnya.
Dua gandingan lain ialah Anies Baswedan – Muhaimin Iskandar disokong gabungan Perubahan, yang terdiri daripada Parti NasDem, Parti Keadilan Sejahtera (PKS), dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) manakala gandingan Ganjar Pranowo – Mahfud MD disokong oleh PDI-P dan Partai Persatuan Pembangunan (PPP), serta partai lain seperti Partai Perindo dan Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura). Nama Gibran diumumkan sebagai gandingan Prabowo selepas Mahkamah Perlembagaan membenarkan umur di bawah 40 tahun bertanding pilihan raya. Ketika itu Gibran berumur 37 tahun.
Selepas namanya diumum Prabowo sebagai rakan segandingan, media Indonesia bertanya kepada Presiden Jokowi dan dijawab adalah menjadi tanggungjawab bapa merestui dan mendoakan anak.
“Jangan campuri urusan anak membuat keputusan sebab mereka sudah dewasa,” ujar Jokowi dan apabila soalan yang sama kepada Gibran, beliau menjawab jadilah keluarga yang demokratik.
Selepas pilihan raya umum pada 14 Februari gandingan Prabowo and Gibran mendahului kiraan dengan 57 peratus undi berbanding dua gandingan lain yang masing-masing meraih 27 peratus dan 16 peratus undi yang menunjukkan mereka menang pusingan pertama.
Mengulas pencapaian Gibran tersebut, pengasas undi 18 Tharma Pillay berkata, sudah sampai masanya golongan muda diberi kepercayaan menjadi pemimpin dan mungkin akan mengambil alih kepimpinan negara 10 atau 20 tahun lagi.
“Kita perhatian ketika ini, ada beberapa pemimpin muda sudah diketengah oleh parti parti tertentu seperti MUDA yang menampilkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” ujarnya.
UMNO katanya, sudah mengetengahkan Asyraf Wajdi Dusuki manakala DAP menonjolkan pemimpin muda seperti Steven Sim.

Syed Saddiq pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan dalam usia 26 tahun manakala Sim kini menjadi Menteri Sumber Manusia. Sementara itu, Syed Saddiq mengakui peranan pemimpin muda sudah diakui dan beberapa negara dunia seperti Perancis dan Kanada serta Austria pernah dipimpin oleh ahli politik muda.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Gibran serta Prabowo menjadi gandingan terbaik golong an berusia dan muda sama-sama mempimpin (Indonesia),” ujarnya.
Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, bukan sahaja masyarakat muda yang berani mengangkat Gibran sehingga ke tahap Naib Presiden, tetapi pelbagai lapisan masyarakat yang mengundi telah menyuarakan perlunya gandingan orang lama dan jiwa muda untuk mewujudkan kesegaran politik Indonesia.
Gibran 37, wakil presiden termuda dalam sejarah dan jauh lebih muda daripada dua calon Naib Presiden lain iaitu Muhaimin ,58, dan Mahfud MD. 67, sekali gus memecah tradisi politik Indonesia dalam melengkap posisi wakil presiden.
“Bagi saya ini politik matang dan jika dulu Indonesia terkenal dengan Orde Baru era Suharto, tetapi pemilihan Gibran dalam usia muda telah mencetuskan satu lagi fenomena baharu iaitu
Indonesia Maju yang mengetepikan jurang usia, meredakan perbalahan politik kepartian dari zaman Jokowi dan membangunkan ‘pasaran’ baharu politik Indonesia menerusi pembangunan ibu kota baru Nusantara,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, Indonesia sedang mendahului negara ASEAN lain dalam konteks kematangan dan pembaharuan politik.
“Bagi saya bukan sekadar wajar tetapi perlu mempunyai kemahuan politik. Jika sekadar kita asyik banyak bercakap tetapi tidak laksanakan maka lama kelamaan hanya tinggal cakap kosong.
“Justeru, ia mesti bermula dengan kesediaan Kerajaan Perpaduan mengetengahkan muka baharu yang muda sebagai calon pilihan raya dan menteri.
“Langkah drastik bagi saya adalah mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Perdana Menteri khusus untuk orang muda, wanita. Maka lama kelamaan rakyat Malaysia akan mula terbuka untuk menerima perubahan. Kita sekadar cakap hendak penuhkan kuota 30 peratus wanita dalam semua sektor tetapi sampai sekarang masih belum berjaya, malah ahli politik wanita yang mendesak peluang lebih besar pun tidak berani hendak tubuhkan satu parti wanita bagi memastikan monopoli dan hak mereka diketengahkan.
“Bagi saya masih jauh untuk melihat penglibatan dan peningkatan kedudukan secara semula jadi orang muda dalam jawatan penting tertinggi negara seperti Timbalan Perdana Menteri dapat dicapai, “ ujarnya lagi.
Lihat sahaja ada Parti MUDA pun masih sukar untuk survive dalam politik negara secara semulajadi. Justeru kaedah memberi peluang dan keterbukaan politik pengundi merupakan formula untuk mengangkat orang muda menjawat kedudukan tertinggi dalam pentadbiran negara,” ujarnya. -UTUSAN











