Pas, Bersatu perlu saling percaya jika mahu kekal kerjasama

Pas, Bersatu perlu saling percaya jika mahu kekal kerjasama

Pas-Bersatu perlu saling mempercayai bagi menghadapi PRU16.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu saling percaya-mempercayai jika mahu kerjasama menerusi Perikatan Nasional (PN) dipertahankan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, tidak dinafikan sokongan yang lebih besar dapat diperoleh apabila Pas dan Bersatu bergabung.

Bagaimanapun, katanya, ke­­adaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri menimbulkan naratif Pas mengawal dan tidak memberi ruang kepada Bersatu dalam memilih calon.

“Calon daripada Pas dan masuk parti (Bersatu) beberapa hari sebelum itu, jadi orang lihat seolah-olah ada campur tangan Pas. Pas sepatutnya memberi kepercayaan kepada rakannya.

“Tetapi setakat ini, saya tidak lihat bahawa PN akan runtuh dan mereka masih boleh bertahan. Cuma untuk PRU16, mereka perlu lebih be­kerjasama dan saling percaya mempercayai. Pas kena beri kepercayaan kepada Bersatu dan sebaliknya. Hanya melalui cara itu mereka boleh bertahan untuk PRU16.

“Kalau masing-masing buat sikap saling tidak percaya, jadi akan pecah. Seperti berlaku di Nenggiri patut jadi pengajaran. Patut serah pada Bersatu sebab nama pun kerusi Bersatu, jadi patut calon Bersatu.” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian men­gulas sejauh mana kerja­sama Pas dan Bersatu mampu bertahan.
Akhbar ini semalam mela­porkan, kenyataan sinis yang sering kali dikaitkan Bersatu menumpang kekuatan Pas di dalam PN tidak benar sebalik­nya kedua-dua parti itu saling memerlukan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dilapor berkata, secara zahirnya kerjasama tersebut berjalan baik khusus­nya dalam mendepani pilihan raya.

Katanya, Pas juga mendapat keuntungan apabila bersama Bersatu dengan kawasan yang sukar parti itu menang dalam pilihan raya dahulu berjaya ditembusi ekoran tambahan sokongan kepada Bersatu.

Mengulas lanjut, Mazlan ber­kata, kes-kes mahkamah yang dihadapi pemimpinan Bersatu ketika ini dilihat boleh menjejaskan prestasi PN.

Katanya, ini kerana pimpinan yang terlibat itu berkemungkinan tidak boleh memberi fokus kepada kerja-kerja pilihan raya.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. P. Sivamurugan berpendapat, ker­jasama Pas dan Bersatu sama ada mampu bertahan atau sebaliknya bergantung kepada kesungguhan kedua-dua pemimpin di peringkat atas mahupun bawah.

Justeru, katanya, perlu ada sikap keterbukaan untuk menerima sesama mereka dalam konteks PN dan bukan berdasarkan kepada kepentingan parti masing-masing semata-mata.

“Kerjasama Pas dan Bersatu banyak bergantung kepada usaha membina keyakinan dan kepercayaan berasaskan kepada fahaman atau idelogi politik yang menolak perbezaan, tetapi meningkatkan nilai-nilai kebersamaan.

“Asasnya adalah PN. Oleh itu, Pas dan Bersatu walaupun mempunyai pendirian ke atas ideologi masing-masing, tetapi dalam konteks PN perlu menampakkan kebersamaan supaya dapat mempertahankan kerusi yang ada dan membolosi kerusi yang lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, PN perlu mempu­nyai petunjuk kepada hala tuju yang dibawa dan bukan semata-mata agenda Melayu dan Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN