SEGAMAT: Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) dari Gemas ke Segamat telah 95 peratus siap dan dijangka mula beroperasi awal Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek itu memerlukan sedikit masa lagi untuk menyiapkannya dan melakukan ujian terlebih dahulu.
“Masih ada kekurangan lagi yang saya lihat sewaktu lawatan ke stesen ETS Segamat ini sebentar tadi dan ia masih memerlukan jejantas atau jejambat bagi menghubungkannya ke Stesen Bas Segamat di seberang jalan.
“Kita mahu memastikan keselamatan orang ramai terjamin sama ada dari sebarang keadaan cuaca yang panas atau hujan mahupun keselamatan dari sudut bencana lain,” katanya semasa merasmikan Karnival Keretapi Go Go Go di Jalan Awang, di sini malam semalam.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa yang juga Ahli Parlimen Sekijang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, Ng Kor Sim.
Siew Fook berkata, projek landasan berkembar sepanjang 192 kilometer itu akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan bergerak selaju 140 kilometer sejam dan mengambil masa perjalanan kira-kira tiga jam 40 minit dari KL Sentral ke JB Sentral, manakala dari Stesen Segamat ke JB Sentral hanya memerlukan masa satu jam 30 minit.
Menurutnya, ketika ini perkhidmatan ETS adalah dari Padang Besar ke Kuala Lumpur hingga ke Gemas.
“Kita juga merancang untuk menambah jumlah gerabak ETS di laluan berkenaan namun ia tertakluk kepada permintaan khidmat pelanggan,” katanya. – UTUSAN











