Kemenangan ke-14 PN atau kemenangan moral PH? - Utusan Malaysia

Kemenangan ke-14 PN atau kemenangan moral PH?

Ramai pemerhati politik menunggu Parlimen Padang Serai menjadi milik gabungan mana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai yang ditangguhkan kepada Rabu ini tidak akan mengubah apa-apa keputusan di peringkat Kerajaan Persekutuan yang kini pentadbirannya sudah dibentuk antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan parti lain.

PH mendapat ‘tonik’ menjelang hari pengundian pada 7 Disember ini apabila BN yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan bersetuju memberi laluan agar pertarungan satu lawan satu dengan PN dapat direalisasikan.

Beberapa hari sebelum itu, Warisan Kedah juga secara terbuka menyatakan perkara sama meskipun hasrat mereka sudah diketahui awal sejak hari penamaan calon yang diadakan semula pada 24 November lalu.

Bagaimanapun, PH-BN dibimbangi berdepan undi protes daripada sebahagian akar umbi UMNO yang tidak bersetuju dengan penggabungan parti itu bersama DAP apatah lagi terdapat lebih 60 peratus pengundi Melayu di kerusi itu.

Pengumuman lewat BN memberi laluan kepada PH juga mungkin menjadi penyebab mereka sukar menarik sokongan kerana kesuntukan masa untuk meyakinkan kewajaran itu dilakukan pada pilihan raya kali ini.

Sementara itu, melihat momentum kemenangan PN di 13 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah pada 19 November lalu, rata-rata pemimpin dan penyokong mereka optimis kemenangan ke-14 di negeri itu boleh dicapai dengan majoriti besar.

ATAS PAGAR

Tetapi, setelah PN gagal membentuk kerajaan terdapat pengundi atas pagar dan pengundi golongan muda masih berkira-kira sama ada mahu memberi undi kepada calon mewakili parti kerajaan atau pembangkang.

Namun, semangat penyokong PN dilihat tidak meluntur pada setiap kali ceramah atau program yang melibatkan pemimpin mereka atau tiada pemimpim apabila tetap dibanjiri ribuan orang pada setiap malam.

Justeru, peluang di Padang Serai setakat ini masih terbuka antara PH dan PN apatah lagi PRU15 di kawasan itu boleh diibaratkan hanya seperti pertembungan dua penjuru walaupun terdapat enam calon di atas kertas undi.

Ini berikutan, kemenangan dilihat akan ditentukan oleh dua gabungan utama tersebut setelah BN dan Parti Warisan sedia membuka laluan kepada rakan baharu mereka.

Dua lagi calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Bebas pula bukan berada di landasan tepat untuk mencipta kejutan apatah lagi dengan keputusan 221 kawasan Parlimen di seluruh negara sebelum ini, walaupun dua daripadanya dimenangi calon bebas.

Padang Serai menyaksikan seramai 133,867 orang pemilih yang terdiri daripada 133,776 orang pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara akan terlibat dalam PRU15.

Pengundian di kawasan itu ditangguhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kematian calon PH, mendiang M. Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu pada 16 November lalu iaitu tiga hari sebelum hari mengundi.

PH menggantikan Karupaiya dengan Setiausaha PH Kedah, Dr. Mohamad Sofee Razak untuk berlawan dengan calon PN, Datuk Azman Nasrudin; calon Pejuang, Hamzah Abd. Rashid dan calon bebas, Sreanandha Rao, manakala nama calon BN, Datuk C. Sivaraj dan calon Warisan, Mohd. Bakhri Hashim turut kekal di atas kertas undi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×