UMNO lawan Warisan di Parlimen Sepanggar? - Utusan Malaysia

UMNO lawan Warisan di Parlimen Sepanggar?

ABDUL RAHMAN DAHLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menyaksikan salah satu kerusi tradisi UMNO iaitu Parlimen Sepanggar jatuh ke tangan Parti Warisan (Warisan).

Namun, menjelang PRU15, UMNO dilihat mempunyai potensi besar untuk merampas kembali kerusi Parlimen yang disandang oleh Datuk Mohd. Azis Jamman.

Pada PRU14, Mohd. Azis memenangi kerusi Parlimen tersebut setelah memperoleh 28,420 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang memperoleh 15,436 undi.
Ketua Bahagian Warisan Sepanggar itu menang dengan majoriti 12,984 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Mohd. Aziz Jamman

Pada masa ini, pengundi berdaftar yang direkodkan di Parlimen Sepanggar adalah 107,463 orang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, berdasarkan situasi politik semasa, UMNO mempunyai peluang untuk merebut semula kerusi Sepanggar.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada siapa calon yang ditempatkan di kerusi tersebut pada PRU15.

“Di pihak Warisan, sudah semestinya parti itu akan berusaha bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

“Namun, saya tidak nampak parti lain seperti Pas mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai kekuatan untuk merebut kerusi Parlimen Sepanggar,” katanya.

GRS

Semalam, Bersatu Sepanggar menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi tersebut namun mereka serahkan kepada pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membuat keputusan meletakkan calon parti mana yang akan bertanding di situ.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) dilantik yang juga Setiausaha Pas Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan sebelum ini secara terbuka menawarkan diri untuk bertanding kerusi Parlimen Sepanggar.

Malah, Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Sabah, Datuk Yakub Khan turut menyatakan keyakinan bahawa UMNO akan merampas semula kerusi Parlimen Sepanggar yang merupakan kerusi tradisi UMNO/BN.

Secara umumnya, Romzi tidak melihat ada sebarang parti atau gabungan di Sabah akan memperoleh jumlah kerusi yang terbanyak pada PRU15.

“Namun, sekiranya GRS dan BN bekerjasama, ada kemungkinan gabungan ini akan memperoleh lebih banyak kerusi.
“Di pihak Warisan pula, saya melihat mereka masih mempunyai sokongan di kebanyakan kerusi di pantai timur,” katanya.

Menurut Romzi, sekiranya BN bergerak solo maka, akan wujud pertembungan dengan GRS. Jadi, kemampuan memperoleh lebih banyak kerusi bergantung kepada kredibiliti calon serta kekuatan jentera pilihan raya masing-masing.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN