Matrade terajui 150 organisasi ke CAEXPO 2024 di China - Utusan Malaysia

Matrade terajui 150 organisasi ke CAEXPO 2024 di China

MOHD MUSTAFA ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menganjurkan penyertaan syarikat Malaysia pada The China-ASEAN Expo (CAEXPO) 2024 edisi ke-21 yang akan berlangsung dari 24 hingga 28 September 2024 di Nanning, China.

Objektif penyertaan dalam acara ini adalah untuk mempertingkatkan lagi keupayaan eksport Malaysia ke wilayah baru muncul di China.

Tahun ini, 150 organisasi Malaysia termasuk 12 kementerian/agensi kerajaan dan empat persatuan perdagangan akan mengambil bahagian dalam pavilion Malaysia yang merupakan satu daripada yang terbesar pada era pasca Covid.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, penyertaan Matrade yang ke-21 berturut-turut dalam CAEXPO adalah bukti komitmennya untuk meningkatkan perdagangan dengan China.

“Kehadiran berterusan kami di acara berprestij ini mencerminkan kepentingan yang kami letakkan dalam mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China,” katanya.

Tambahnya, pavilion Malaysia di CAEXPO 2024 akan menampilkan agensi kerajaan utama, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di samping penyertaan sektor swasta.

Jelasnya, sektor tumpuan termasuk makanan dan minuman, hasil pertanian, gaya hidup, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan serta sektor perkhidmatan.

“Menyoroti kekuatan ekonomi Malaysia yang pelbagai, pavilion itu juga akan merangkumi Kementerian Pertanian, EXIM Bank, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), serta pelbagai agensi negeri dan badan industri.

“Ini mengukuhkan komitmen negara terhadap pertumbuhan perdagangan dan pelaburan serantau,” ujar kenyataan itu lagi.

Menurutnya, sepanjang 20 edisi yang lalu, penyertaan Malaysia dalam acara ini menyaksikan penglibatan terkumpul daripada lebih 2,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dan menjana angka jualan yang ketara berjumlah RM6.3 bilion.

Katanya, ini mencerminkan pengiktirafan berharga produk dan perkhidmatan Malaysia di China.

“Penyertaan Malaysia dalam CAEXPO tahun ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi dan mengekalkan perdagangan dan eksport kami dengan China yang telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun berturut-turut,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×