PETALING JAYA: Sikap ibu bapa yang dengan mudah memberikan gajet dan kemudahan internet sebagai cara paling mudah dan cepat untuk menghiburkan anak masing-masing merupakan antara faktor meningkatnya kes jenayah seksual kanak kanak seperti pedofilia dan mengantun kanak-kanak (child grooming).
Dilaporkan sembilan daripada 10 atau kira-kira 7.6 kanak kanak di negara ini yang berusia 14 tahun dan ke bawah menghabiskan purata masa lapan jam sehari dengan gajet atau menggunakan internet.
Berikutan itu, peguam cara dan peguam bela, Nor Zabetha Muhamad Nor berkata, kanak kanak seawal usia lima tahun berpotensi untuk terdedah men jadi mangsa pedofilia atau antun kanak-kanak disebabkan sikap ibu bapa membenarkan anak mereka menggunakan gajet dan internet pada usia yang terlalu muda dan tidak sepatutnya.
Menurutnya, kemudahan masyarakat mengakses internet juga membolehkan pemangsa seksual kanak-kanak mencari mangsa melalui media sosial atau menonton bahan lucah untuk memuaskan nafsu.
“Kanak-kanak seusia itu mungkin tidak tahu mengeja atau membaca, tetapi mereka dapat melihat video atau gambar berbentuk seksual dan secara tidak langsung timbul rasa ingin mencuba apa yang dilihat.
“Bagi pemangsa seksual pula, kaedah yang paling mudah untuk mereka adalah menggunakan media sosial untuk mencari mangsa kerana ketika ini kanak-kanak berusia antara 10 hingga 15 tahun sudah mempunyai telefon atau gajet.
“Malah, pemangsa seksual kanak-kanak juga tahu kebarangkalian untuk dikesan atau ditangkap dengan menggunakan akaun palsu adalah sangat rendah berbanding dilakukan secara fizikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ogos lalu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah kes kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak menerusi media sosial meningkat kepada 525 tahun lalu berbanding 360 pada 2022.
Tambah Nie Ching, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 288 kes kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak menerusi media sosial telah dilaporkan.
Baru-baru ini, laporan mengenai ‘Abang Bas’ mendapat perhatian banyak pihak dengan pelbagai reaksi. Ada yang menyokong perbuatannya dan ada juga yang membantah dengan menyifatkannya sebagai gangguan seksual.
Pada 10 September lalu, tertuduh didakwa bagi dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia empat tahun dan seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun di Mahkamah Sesyen Muar.
Pemuda berusia 25 tahun itu didakwa di bawah Seksyen 14(a) dan 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan 15 akta sama.
Dia juga didakwa di Mahkamah Batu Pahat bagi pertuduhan membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dan didakwa di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Dalam pada itu, Nor Zabetha berkata, pemangsa seksual kanak-kanak juga boleh mendapatkan 10 mangsa menerusi media sosial dalam masa sehari.
“Jumlah mangsa yang boleh terlibat dengan jenayah pedofilia atau antun kanak-kanak adalah bergantung kepada keinginan pemangsa seksual tersebut.
“Jika secara dalam talian, pemangsa seksual meminta gambar lucah daripada 10 kanak-kanak, maka perkara itu boleh berlaku. Pemangsa seksual boleh mendapatkan sebanyak mana mereka mahukan bergantung kepada keinginan seksual seseorang individu.
“Dalam kes yang saya kendalikan, pelaku meminta mangsa kanak-kanak perempuan untuk berkongsi gambar berpakaian seksi selepas melihat gambar atau video pornografi dalam internet,” katanya.
Sementara itu, Pengarah dan Pemegang Kerusi Profesor, Institut Jenayah dan Kriminologi, Universiti Pengajian Tinggi Pembelajaran Falsafah (HELP), Datuk Seri Dr. Akhbar Satar berkata, Yayasan Pemerhati Internet dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh dieksploitasi untuk menghasilkan bahan penyalahgunaan seksual kanak-kanak di dark web (web tertutup).
“Pemangsa seksual boleh menggunakan AI untuk mengambil gambar seorang kanak-kanak dan menjadikannya kelihatan seolah-olah kanak-kanak itu berbogel atau terlibat dalam tindakan seksual atau pemangsa dalam talian.
“Apabila perkara itu berlaku, ia akan mencetuskan khayalan kepada si pelaku dan mendorong mereka untuk mencuba dengan objek sebenar (kanak-kanak) dan akhirnya berlakulah jenayah seksual melibatkan golongan tersebut.
“Bukan semua teknologi itu memudahkan kerana jika digunakan bagi tujuan salah, buruk padahnya. Jadi, semua pihak terutama ibu bapa perlu peka dengan penggunaan internet anak-anak, janganlah ambil mudah kerana bila sudah berlaku (jenayah), hendak menyesal pun tiada guna,” katanya. – UTUSAN











