TOKYO: Seorang individu dilaporkan maut manakala enam lagi hilang selepas hujan luar biasa melanda wilayah Ishikawa di Jepun pada Sabtu, lapor media tempatan.
Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran kecemasan hujan lebat di wilayah Noto, di mana terdapat lebih 120 milimeter hujan yang direkodkan dalam tempoh sejam pada pagi hari kejadian, menurut laporan Kyodo News.
Arahan pemindahan besar-besaran dikeluarkan kepada 50,000 penduduk di empat bandar kerana ahli meteorologi meramalkan hujan lebat akan menyebabkan banjir besar.
Gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan menjejaskan sekitar 6,240 isi rumah di kawasan Wajima, Suzu dan Noto, menurut Kyodo yang memetik kenyataan daripada syarikat Hokuriku Electric Power Co.
Usaha menyelamat sedang giat dijalankan ketika pihak berkuasa terus memantau keadaan dengan rapi.
Sebanyak 12 sungai dilaporkan melimpah akibat hujan lebat tersebut. -AGENSI










