Sudah bertahun lama tercetus persoalan kenapa ada filem yang menerima Dana Kandungan Digital (DKD) kerajaan namun ada antara filem-filem yang terhasil digambarkan seperti ‘sampah’.
Justeru, ramai bertanya berbaloikah peruntukan lebih RM240 juta sejak 2017 hingga 2023 itu diberikan kepada pembikin filem? Bukan setakat itu, turut dipersoalkan kenapa ada juga penerima dana yang tidak dikenali dalam industri tiba-tiba terpilih menerima dana itu.
Dari situlah timbul label filem ‘sampah’ antara contoh yang diperkatakan filem Vik2ria Secret yang hanya mengutip RM5,058 selepas ditayangkan sekitar Jun tahun lalu.
Kualiti filem arahan A.R Badul itu dikategorikan tahap mengecewakan dari segi jalan cerita, skrip dan kualiti gambar. Berdasarkan filem tersebut ada mengkritik Vik2ria Secret sekadar tahap drama televisyen bukannya di layar perak.
Didakwa, bukan hanya filem tersebut yang mengecewakan tetapi beberapa lagi filem lain yang dihasilkan dengan dana DKD menerima nasib serupa. Vik2ria Secret dikatakan menerima dana produksi RM550,000.
Situasi tersebut menimbulkan pelbagai tanda tanya, sekali gus mencetuskan persepsi yang mengaitkan peruntukan DKD sebagai satu pembaziran sekiranya ada lagi filem yang dihasilkan dengan peruntukan itu, gagal dari segi kutipan dan penghasilannya. Apatah lagi untuk diharapkan bersaing dengan filem-filem dari negara jiran.
Biarpun kita tidak boleh menutup hakikat ada filem-filem DKD pecah panggung tahun lepas, namun bila ada naskhah dengan kualiti mengecewakan, penonton persoalkan, itu filem atau drama televisyen?
LANTANG BERSUARA
Juruanimasi, pengkritik dan pengarah (filem), Hassan Abdul Muthalib antara yang lantang bersuara mengenai peruntukan DKD yang menyalurkan lebih RM240 juta kepada pelbagai produksi perfileman sejak 2017 hingga 2023.
Beliau berkata, terhasilnya filem-filem ‘sampah’ adalah kerana pembikinnya tidak berkemampuan untuk menghasilkan filem yang baik. Dalam erti kata lain, penerbitnya sendiri bukan orang berilmu dalam menghasilkan filem.
Soal beliau, mengapa dalam kalangan penerima DKD, permohonan mereka yang bukan ‘orang filem’ ini diluluskan?
“Memang menghairankan, filem dihasilkan dengan dana DKD banyak juga yang gagal dari segi kutipan selain kualitinya rendah.
“Sewaktu saya dilantik sebagai antara barisan panel penilai permohonan DKD, saya tidak nafikan, banyak pemohon, yang pada hemat seluruh panel, cukup layak dan berwibawa, lalu mereka dipilih.
“Bagaimanapun, tindakan memuktamadkan senarai penerima hanya ditentukan di peringkat kementerian, di mana ada barisan panel lain yang membuat keputusan.
“Yang menghairankan adalah apabila ada dalam kalangan pemohon ditolak setelah dinilai di peringkat Finas, tetapi diluluskan pula selepas dinilai di peringkat kementerian,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Hassan berharap pihak berwajib lebih selektif dan memilih pihak yang paling layak sebagai penerima dana kerajaan.
Tidak hanya segelintir pemain industri malah masyarakat juga mempersoalkan adakah sistem pemilihan sekarang sudah kuat? Wujudkah ruang ketirisan dalam pemilihan penerima?
“Kenapa ada filem penerima DKD yang gagal di pasaran? Seperti Imam dan Memoir Seorang Guru. Pada saya, filem-filem itu bukan sahaja gagal dari segi kutipan, malah garapan.
“Adakah latar belakang pemohon ini dikaji sebelum permohonan diluluskan? Saya dimaklumkan, ada pemohon yang terima dana sehingga RM551,000, tetapi filem yang dihasilkan teruk dan mengecewakan.
“Masalah ini dirujuk semula kepada persoalan utama, atas dasar apa kelulusan (penerima DKD) dibuat di peringkat kementerian?” soalnya lagi.
Kata Hassan, pembikin filem sampah adalah perosak industri yang tidak layak menerima dana DKD.
“Macam mana industri filem kita boleh maju kalau pembikin-pembikin filem seperti ini wujud? Dari segi kuantiti penghasilan filem tempatan, mungkin pada pengamatan kita, rancak. Tapi dari sudut kualiti, bukan semua yang mencapai piawaian.
“Filem-filem sampah inilah yang menjahanamkan industri. Kalau ia terus ditayangkan, nescaya penonton akan hilang keyakinan, dan menolak untuk menonton filem tempatan, termasuklah filem yang berkualiti.
“Inilah masalah kerajaan bagi dana, tapi filem sampah yang dihasilkan. Kalau tidak diberi bantuan, orang industri juga yang marah,” jelasnya.
PENERIMA BERWIBAWA?
Hassan, ketika mengulas isu sama, berharap pihak berwajib membuat pilihan yang betul dan memberikan dana DKD kepada pembikin yang benar-benar layak dan berwibawa.
Katanya, langkah itu penting agar dana tersebut tidak dibazirkan, selain peluang penerimaan DKD tidak jatuh ke tangan yang salah.
“Filem yang bagus adalah yang dihasilkan karyawan yang betul-betul berilmu. Bukan sahaja ilmu pembikinan filem, malah ilmu filem itu sendiri. filem berkualiti kena ada falsafah, pemikiran selain menyelami tema, isu dan subjek.
“Malangnya, elemen-elemen ini tidak ada pada kebanyakan teraju utama (pengarah) kita. Yang mereka tahu hanyalah mengarah, posisi kamera dan shot gambar.
“Kita kena berguru untuk dapatkan ilmu tentang filem. Pemikiran tentang subjek juga kena sampai. Kalau kita tidak lahirkan pengarah dalam kalangan ahli fikir, bagilah sebanyak mana dana sekalipun, filem kita tidak akan ke mana,” kongsinya.
FINAS TIDAK AGRESIF?
Isu pemilihan penerima DKD turut disuarakan pengarah filem terkenal, U-Wei Haji Saari, 70, yang menolak pemberian dana itu kepada mereka yang bukan pembikin filem.

Kata pengarah filem Hanyut itu, dana DKD perlu dimanfaatkan untuk penghasilan filem berkualiti, justeru harus diberikan kepada pembikin filem berwibawa.
“Ada dalam kalangan penerima DKD tahun lepas dan tahun ini yang kita tidak kenal pun siapa mereka. Saya harap dana ini diberikan kepada mereka yang arif dan berpengalaman untuk hasilkan filem, jadi kenal pastilah ‘pemainnya’.
“Perkara itu sangat penting. Harus diingat, filem sampah dibikin mereka yang bukan ‘orang filem’, ” ujarnya.
Dalam masa sama, U-Wei juga berharap Finas lebih agresif dalam melahirkan pelapis pembikin filem berkredibiliti.
RUANG PENAMBAHBAIKAN
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Azmir Saifuddin Mutalib pula berkata, terdapat beberapa faktor yang membuatkan sesebuah filem itu gagal.
Katanya, antaranya dari segi corak pasaran dan kepelbagaian cita rasa penonton.
“Tidak adil kita kategorikan filem yang tidak berjaya di pawagam itu sebagai filem gagal. Ini kerana banyak filem penerima DKD yang kurang berjaya di panggung, tetapi berjaya apabila dihantar ke festival filem.
“Contoh filem Imam, yang tidak pecah panggung, tetapi menyerlah di sebuah festival di Tehran. Pada masa sama, filem itu juga mendapat sambutan baik dan menjadi rujukan di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Untuk kita nilai sama ada filem itu berjaya atau tidak, kita harus melihat secara keseluruhan, tidak adil untuk nilai pada satu sudut sahaja.
“Saya umpamakan seperti sebuah sekolah dan saya pengetuanya. Kita tidak boleh menjangkakan semua murid dalam sekolah itu mencatatkan keputusan cemerlang. Pasti ada juga murid kurang cemerlang.
“Begitu juga dalam industri filem. Masih ada ruang penambah baikan bagi naskhah yang kurang berjaya. Ia adalah satu proses, gagal satu ujian tetapi bukan semestinya gagal ujian lain,” katanya.
Kata Azmir, Finas tetap menjalankan siasatan dan kaji selidik bagi mencari punca dan mencari arah tuju filem-filem penerima DKD yang kurang berjaya di pawagam.
“Finas dapatkan maklum balas mengenai penambahbaikan yang boleh dilaksanakan. Mungkin dari segi pengedaran boleh diperhebat dan diperkemaskan.
“Dan Finas juga melakukan audit bagi setiap filem yang dihasilkan dengan dana DKD. Ini membantu untuk kita kenal pasti aspek lain yang boleh diperbaiki,” kongsinya.
Azmir turut menjelaskan perancangan kementerian untuk menjenamakan semula dan meluaskan matlamat DKD.
“Ada perubahan dan penjenamaan semula yang bakal diumumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Perubahan ini juga membabitkan kategori baharu yang juga akan diumumkan kelak.
“Kita berharap dana ini dapat dimanfaatkan seratus peratus untuk pembangunan industri filem di negara ini,” katanya. – UTUSAN










