BIPC bantah pungutan levi PSMB - Utusan Malaysia

BIPC bantah pungutan levi PSMB

PELABURAN swasta diunjur terus berkembang disokong oleh inisiatif berterusan daripada kerajaan. – GAMBAR HIASAN/YULPISMAN ASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Levi PSMB untuk sektor pembinaan beri impak kepada pengguna

PETALING JAYA: Majlis Pre­siden Industri Pembinaan (BIPC) membantah undang-undang baharu Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) yang mula mengenakan levi terhadap sektor pembinaan bermula 1 Jun ini.

Ini kerana, industri pembinaan negara sememangnya diletakkan di bawah Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang telah memainkan peranan dalam penyediaan latihan serta mengembangkan kemahiran pekerja pembinaan menerusi pungutan levi daripada syarikat kontraktor.

Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Datuk Ar. Ezumi Harzani Ismail berkata, pembayaran levi kepada PSMB itu akan membebankan syarikat dalam sektor pembinaan kerana mereka juga perlu mengeluarkan kos untuk yuran tahunan dan kursus-kursus mandatori di bawah program CIDB.

Selain itu katanya, profesion di dalam lingkungan sektor pembinaan seperti arkitek, jurutera, juruukur bahan, perancang bandar dan juruukur tanah juga dikawal selia oleh lembaga profesional masing-masing.

“Pungutan levi PSMB dibuat supaya dapat mengadakan kursus memantapkan kemahiran pekerja namun, apa yang menjadi persoalan, di bawah lembaga profesional masing-masing juga telah ada peraturan untuk menghadiri beberapa kursus setahun supaya dapat melengkapkan mata yang diperlukan.

“Contohnya, arkitek perlu menghadiri lima kursus setahun untuk melengkapkan 10 mata pembangunan profesional berterusan (CPD) dan jika tidak dilengkapkan, mereka tidak boleh perbaharui lesen profesional.

“Kursus ditawarkan PSMB pula kita tidak tahu sama ada mencapai piawaian kerana selalunya pekerja dalam sektor ini akan menghadiri kursus seliaan jurulatih profesional yang mempunyai 10 ke 20 tahun pengalaman dalam bidang tersebut, bukannya daripada tenaga pengajar sepenuh masa yang tidak berpengalaman luas dalam bidang ini,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Beliau yang juga ahli BIPC menegaskan, peningkatan kos pungutan levi yang membebankan syarikat dalam sektor pembinaan ini secara tidak langsung akan memberi impak negatif kepada rakyat.

Jelasnya, levi PSMB adalah satu peratus daripada gaji setiap pekerja dan perlu dibayar setiap bulan, dan umum mengetahui syarikat kontraktor kebiasaannya mempunyai lebih daripada 1,000 pekerja.

“Cuba bayangkan sekiranya syarikat ada 1,000 pekerja dengan gaji bulanan RM3,000, setiap bulan peruntukan sebanyak RM30,000 perlu dikeluarkan untuk levi PSMB. Dalam tempoh setahun pula, RM360,000 perlu dibayar. Nilai itu boleh dikatakan besar kerana pekerja perlu menghadiri kursus wajib juga.

“Disebabkan itu, harga rumah juga dijangka akan melonjak kerana pemaju perlu membayar lebih kepada arkitek, kontraktor dan sebagainya supaya pihak-pihak ini dapat menanggung kos tersebut. Akhirnya, pembeli juga yang menerima impak besar,” ujarnya.

Tambah Ezumi Harzani, kerajaan harus lebih berwaspada dan membuat kajian sebelum memperkenalkan peraturan baharu supaya tiada pihak yang akan menerima impak lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih menular.

PSMB memperkenalkan undang-undang pembayaran levi terhadap lebih 50 industri baharu di bawah Akta PSMB 2001 berkuat kuasa 1 Mac lalu namun diberikan pengecualian bayaran tiga bulan sehingga 31 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×